» » 'Rampasan Bible bukti JAIS tidak yakin dengan ajaran Islam'


Kebimbangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung Bible yang diterbitkan dalam bahasa Melayu jelas menunjukkan lemahnya keyakinan mereka terhadap Islam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok, Dr Idris Ahmad.

Dr Idris berkata, jika Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memainkan peranan mereka secara berkesan, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan penerbitan Bible dalam bahasa Melayu.

“Jais tidak yakin dengan Islam? Kalau umat Islam yakin, apa hendak kisah Al-Kitab bahasa Melayu atau bahasa lain.

"Siapa yang salah? Mereka tidak beri keyakinan kepada orang Melayu. Kenapa mereka tidak cermin diri sendiri mengapa orang Melayu tidak yakin dengan Islam?" katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.

Mais pada Jun lalu tidak bersetuju dengan keputusan peguam negara untuk tidak mendakwa Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dalam isu rampasan 320 bible bahasa Melayu dan Iban di Petaling Jaya, Januari lalu.

Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata mesyuarat khas majlis itu menganggap masih ada ruang dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap PBM.

"Keputusan peguam negara untuk tidak mendakwa mereka yang terlibat akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam," kata Mais dalam satu kenyataan.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebelum itu berkata Jais tersalah langkah dalam rampasan kitab Bible bahasa Melayu dan Iban di pejabat PBM serta mengarahkan kes tersebut ditutup.

Bagaimanapun, Adzib berkata timbalan pendakwa raya Selangor perlu merujuk kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pelupusan barang rampasan tersebut seperti diperuntukkan oleh Seksyen 407A Kanun Acara Jenayah.

Idris berkata, pendedahan umat Islam kepada Kristian tidak akan menjadikan mereka terpengaruh kepada agama itu selagi mereka mempunyai pegangan yang kuat.

Katanya, latar belakang pendidikannya yang menuntut di sekolah mubaligh tidak sekali-kali menjadikan dirinya terpengaruh dengan pegangan agama minoriti Malaysia itu.

"Saya sekolah di St John, sekolah Katolik dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Dulu sekolah Katolik, depan belakang semua lambing salib. Sebelum mula kelas mereka baca doa.

"Saya pernah pergi gereja untuk faham apa itu Katolik. Bukan saya hendak masuk Kristian. Saya juga belajar di Australia.

"Adakah saya jadi Kristian? Tidak juga. Sebab apa? Kerana keyakinan," katanya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan itu turut menyelar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana sering menakut-nakutkan orang Melayu.

Katanya, Perkasa seharusnya membangunkan pemikiran orang Melayu dan tidak memberikan gambaran yang salah kepada mereka.

"Perkasa laungkan ketuanan Melayu, kita sudah jadi tuan sejak merdeka. Apa yang mereka laungkan begitu? Mereka laungkan hanya untuk menakutkan orang Melayu dengan mendakwa Cina akan ambil alih.

"Mereka tidak yakin dengan ketuanan Melayu? Mereka sepatutnya membela Melayu daripada segi mengangkat martabat bangsa dalam persaingan, ilmu dan keyakinan. Bukan menakut-nakutkan," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .