Komen-komen yang menghentamnya itu dimuat naik di laman sosial media, Instagram milik Ramona sebaik sahaja berita tentang pembatalan majlis penikahan Dazrin-Amyra heboh diperkatakan, akhir-akhir ini.
“Saya rasa tertekan apabila peminat hebat mengecam saya. Saya pula yang dipersalahkan. Mereka suarakan rasa tidak puas hati mereka di instagram saya.
“Sebenarnya, saya sudah letih untuk menjawab setiap kali nama saya dikaitkan dengan isu ini. Walhal, saya sendiri terkejut apabila mendapat tahu tentang pembatalan pernikahan Dazrin dan Amyra,” kata aktres berusia 24 tahun ini.
Dazrin dan Amyra yang telah bertunang, sepatutnya bernikah pada esok (8 Ogos). Namun majlis pernikahan ini dibatalkan yang mana kedua-dua pihak tidak mahu memberitahu tentang punca sebenarnya.
Bagaimanapun, Ramona atau nama sebenarnya, Ros Ramona Qadira pula yang dikaitkan dengan pembatalan majlis pernikahan Dazrin-Amyra.
Cerita kurang enak mengenai isu ini mula tersebar apabila gambar Ramona bersama Dazrin dimuat naik di Instagram sekitar bulan lalu.
Dalam gambar itu, Ramona dan Dazrin kelihatan sedang menghisap shisha. Menurut Ramona, ketika gambar itu dirakamkan, dia dan Dazrin sedang berehat semasa di lokasi penggambaran drama ‘Bingkai Kaca’.
“Saya pelik kerana dalam gambar itu, kami bukannya dalam pose mesra. Oleh itu, saya berharap sangat agar nama saya tidak berterusan dikaitkan dengan isu kontroversi ini,” pinta Ramona.
No comments: