Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebaliknya mencabar NGO berkaitan memilih pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai sasaran supaya hubungan dagang dengan Israel dihentikan.
“Tidakkah kita tahu bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel yang sangat konsisten?” soal pengarah propaganda NGO itu Edy Noor Reduan .
Dalam kenyataannya hari ini, Edy mendakwa, Malaysia menyumbang keperluan asas industri kepada Israel dan membantu menjana ekonominya, hasil hubungan dagang sejak berbelas tahun.
Beliau bagaimanapun berkata, tidak salah menjadikan restoran makanan segera yang dikaitkan dengan Israel dan produk-produk negara itu sebagai sasaran kempen pemulauan.
Malaysia kelmarin dilapor sedang memperhalusi hubungan dagang dengan syarikat multinasional dari China, Jepun dan Amerika Syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel ekoran penindasan negara itu terhadap rakyat Palestin.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan syarikat tersebut bagi menilai semula hubungan mereka dengan rejim Zionis itu, lapor Utusan Malaysia.
'Jangan guna kekerasan'
Sementara itu, menyentuh bantahan flashmob yang dirancang Jumaat ini di pelbagai pelbagai premis milik sebuah rangkaian makanan segera popular, Edy berkata, mereka mengalu-alukan usaha mengekang urusniaga menguntungkan Israel.
Beliau bagaimanapun berharap supaya “keghairahan” itu berlangsung dengan tenang dan terkawal serta tanpa kekerasan terhadap pelanggan dan pekerja restoran.
“Menaikkan plakad di sekitar restoran sudah memadai, tidak perlu hingga merosakkan premis tersebut.
“Kempen kesedaran ini harus berhemah maka barulah menjadi ikutan ramai dan matlamat tercapai,” katanya.
No comments: