» » PAKATAN hanya hantar nama Wan Azizah kepada Sultan Selangor sebagai MB


Pakatan Rakyat (PR) hanya akan menghantar satu nama iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor baru untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Keputusan itu dibuat setelah calon kedua yang dicadangkan PAS awal hari ini, Mohamed Azmin Ali menolak dirinya daripada dicalonkan, memandangkan terikat dengan PKR yang mencalonkan Dr Wan Azizah.

"Saya patuh kepada keputusan dibuat parti melalui perbincangan dalam PKR untuk mencalonkan Dr Wan Azizah," kata Azmin ketika sidang media pimpinan pusat PR di Subang Jaya, Selangor hari ini.

Sidang media berkenaan diadakan sejurus selepas pemimpin tertinggi parti pembangkang itu bermesyuarat lebih dua jam petang ini.

Sementara itu, pada sidang media sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata majlis pimpinan PR menghargai keputusan PAS kekal dalam PR dan bersetuju dengan keperluan menggantikan menteri besar Selangor.

"Majlis pimpinan juga mengambil maklum dan menghargai pencalonan Dr Wan Azizah dan Azmin untuk jawatan menteri besar," katanya.

Anwar berkata, ekoran kesepakatan tersebut, PR kini akan meneruskan proses selanjutnya dengan mempersembahkan nama Dr Wan Azizah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir dalam sidang tersebut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti komponen PR.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Dr Wan Azizah bagaimanapun tidak kelihatan.

Mohamad berkata, urusan dengan istana akan dilakukan secepat mungkin selepas Azmin mengambil keputusan menolak pencalonannya sebagai menteri besar.

"Azmin patuhi keputusan parti. Oleh itu urusan dengan istana akan dibuat secepat mungkin," katanya, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

PAS hari ini memutuskan untuk kekal dalam PR dan bersetuju dengan pilihan PKR melantik Dr Wan Azizah menggantikan Khalid.

Parti Islam itu bagaimanapun turut menyerahkan nama Azmin sebagai calon lain bagi jawatan berkenaan.

PAS juga mengambil ketetapan mengekalkan 4 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mereka dalam pentadbiran Selangor.

Dalam respons balas Khalid kepada keputusan PAS, pemimpin Bebas itu akan memohon menghadap Sultan bagi mendapatkan nasihat seterusnya berkenaan status beliau.

Khalid juga berkata beliau menerima keputusan berkenaan dengan hati yang terbuka.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .