Malaysia masih di peringkat kajian bagi mengenal pasti model tapisan Internet yang bersesuaian di negara ini selepas kerajaan sebelumnya memberi keyakinan untuk tidak memberi sekatan kepada akses Internet, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, pandangan masyarakat secara keseluruhannya perlu didengar bagi membolehkan aspirasi rakyat Malaysia difahami dengan melihat kebaikan dan keburukan penggunaan Internet.
"Kita perlu lihat tahap tapisan. Kita hendak guna model mana sama ada dari China, Arab atau setakat mana yang kita boleh.
"Jika di China, tiada Facebook dan Twitter. Apakah kita akan sampai ke tahap itu?
"Kita juga perlu minta pandangan orang ramai kerana kita sudah mulakan sistem Internet berasaskan kebebasan dan dijamin dari peringkat awal Internet tiada sekatan," katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.
Minggu lalu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi gesaan agar Putrajaya mengenakan sekatan Internet kerana kesan negatifnya mampu menggugat kestabilan moral awam.
Katanya, semasa menjadi perdana menteri, pada mulanya beliau berasa tidak perlu mengenakan sekatan Internet, tetapi apabila membayangkan kesannya kepada masyarakat awam menyebabkannya hari ini beliau berubah fikiran.
"Saya tidak peduli betapa sucinya hak kebebasan tetapi saya rasa sudah tiba masanya bagi kerajaan Malaysia menapis Internet.
"Hari ini setiap kanak-kanak boleh mengakses kepada bahan pornografi. Mereka tidak lagi selamat daripada gangguan seksual.
"Begitu juga terhadap anak muda lelaki dan perempuan apabila Internet membangkitkan perasaan yang kita kekang sebelum ini," katanya dalam tulisan diblognya www.chedet.cc.
Bagaimanapun, Shabery berkata tidak mudah untuk mengadakan sekatan Internet di Malaysia kerana negara sejak dari awal mengalu-alukan perkembangan pesat dunia Internet.
Katanya, tugas itu semakin rumit apabila kira-kira 2 juta laman sesawang yang berunsur negatif datangnya dari media sosial luar negara dan tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Malaysia.
"Ada boleh dan ada yang tidak (untuk ditapis). Ini kerana sekarang lebih 2 juta laman datang daripada pelbagai kaedah. Misalnya ada datang daripada YouTube yang kita tidak boleh menyekat kandungannya.
"Kita hanya boleh mengadu kepada YouTube. Mereka boleh menyekat kandungan yang tidak baik dan sebagainya. Membuang YouTube dan sebagainya adalah satu keputusan yang mungkin perlu kita ambil.
"Kita akan melihat dan mengkaji model mana yang akan kita pakai," katanya kepada The Malaysian Insider.
Dr Mahathir semasa memimpin negara bersetuju Malaysia tidak perlu menyekat Internet kerana ia sebahagian syarat yang dikenakan pelabur luar dan syarikat teknologi besar untuk membantu negara membangunkan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilancarkan pada pertengahan 1990-an.
Blog miliknya, chedet.cc pada minggu lalu disekat daripada diakses masuk ke dalam akaun Facebook selepas beliau menyiarkan artikel 'The Jews' yang menyentuh isu Yahudi dan peperangan di Gaza antara Palestin-Israel.
Dr Mahathir berkata, "server" dan "platform" blognya sudah ditukar sebanyak tiga kali tetapi cubaan untuk melakukan masih ada dan ia belum termasuk spam dan virus yang menyerang blog.
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pada Isnin menyarankan kerajaan mempertimbangkan cadangan Dr Mahathir untuk mengadakan sekatan terhadap Internet bagi mengelak ia terus disalah guna untuk menghina Melayu-Islam.
Pengarang beritanya Zulkifli Jalil berkata Malaysia perlu mengadakan sekatan Internet bagi tempoh tertentu untuk menilai sendiri pandangan rakyat Malaysia sepanjang tempoh sekatan itu walaupun polisi negara jelas tidak akan berbuat demikian.
“Apa kata sesekali dalam tempoh tertentu, akses Internet Malaysia ditapis. Idea Dr Mahathir apa salahnya dicuba. Kelak, kita boleh menilai manfaatnya, sekali gus sentimen rakyat terhadap tapisan ini.
“Terlalu banyak keganasan datang melalui internet. Apatah lagi dalam senario negara akhir-akhir ini dengan dihujani tohmahan, fitnah dan cercaan terhadap sensitiviti Islam, orang Melayu dan institusi raja.
“Sehinggakan viral meluas di ruang siber - maka tapisan terhadap laman sosial tertentu harus diwajarkan,” katanya melalui rencana yang bertajuk “Internet: Apa salah dicuba saranan Tun M”.
sumber
No comments: