» » 'Kekeliruan PT3 jadikan murid Tingkatan 3 tikus makmal'


Putrajaya menjadikan kira-kira 500,000 pelajar Tingkatan 3 yang berdepan dengan sistem Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebagai 'tikus makmal' setelah kurangnya maklumat hingga menyebabkan kekeliruan, kata DAP.

Pengarah Strategi DAP Dr Ong Kian Ming berkata banyak aduan diterima daripada ibu bapa dan pelajar yang dinilai menerusi pentaksiran itu meyatakan pelajar perlu melalukan kerja lapangan serta menulis esei Sejarah dan Geografi berdasarkan topik yang diberikan.

Katanya, guru dan pelajar keliru dan tidak pasti apa yang mereka perlu lakukan

PT3 diperkenalkan pada Mac tahun ini menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) walaupun Kementerian Pendidikan pada Februari 2011 mengumumkan PMR akan dimansuhkan.

Lembaga Peperiksaan Malaysia akan menyelia peperiksaan yang diadakan di sekolah berdasarkan panduan yang diberikan.

Ong berkata, antara Mac sehingga ke saat ini, masa amat suntuk bagi memberi penerangan kepada pelajar, ibu bapa dan 63,000 guru Tingkatan 3 di 2,376 sekolah menengah tentang keperluan PT3.

"Ini mengakibatkan guru, ibu bapa dan pelajar keliru mengenai PT3, bagaimana ia berbeza dengan PMR, pelaksanaan, mengelakkan pilih kasih dalam pemilihan soalan dan menanda kertas jawapan di peringkat sekolah.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh perlu berhenti menjadikan pelajar Tingkatan 3 kita sebagai tikus makmal dan memastikan PT3 dijalankan dengan lebih baik," katanya merujuk kepada dua menteri itu selaku menteri di Kementerian Pendidikan di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Ahli Parlimen penggal pertama itu turut menyelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas ucapannya pada minggu lalu di Twitter mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar yang menduduki PT3.

“Memalukan apabila Najib mengucapkan selamat kepada pelajar dan pada masa sama tidak sedar masalah berkaitan pelaksanaan PT3,” katanya.

Dalam meluahkan kekesalannya berhubung kekeliruan mengenai PT3, Ong curiga sama ada Kementerian Pendidikan akan meneruskan pelan utamanya di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Kegagalan Kementerian Pendidikan melaksanakan PT3 dengan berkesan menyebabkan kecurigaan untuk beralih dari satu pertiga tercorot ke satu pertiga teratas dalam kedudukan Pisa dan TIMSS,” katanya.

Sehubungan itu, Ong menggesa satu jawatankuasa kerja tergempar ditubuhkan bersama dengan talian pertanyaan bagi menjawab persoalan berkaitan PT3 dan aduan guru, pelajar dan ibu bapa.

Katanya, mekanisme bersesuaian diperlukan supaya kecenderungan untuk berlaku berat sebelah dalam pemarkahan di sekolah dapat dikurangkan.

Ini bukanlah kali pertama Ong membangkitkan isu berkait PT3. Bulan lalu, Ong turut menyelar Kementerian Pendidikan kerana gagal memberi penjelasan pelaksanaan PT3.

“Bagaimana pencapaian yang digariskan dalam laporan tahunan PPPM boleh dipandang serius apabila kementerian tidak dapat menerangkan bagaimana PT3 akan menggantikan PMR bermula tahun ini,” katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .