Lapan kawasan yang dilanda jerebu mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan melebihi 100, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.
Beliau berkata pemantauan stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Nilai mencatatkan bacaan IPU 104, Banting (108), Pelabuhan Klang (107), Petaling Jaya (103), Shah Alam (106), Putrajaya (112), Batu Muda Kuala Lumpur (103) dan Cheras (106).
Katanya sebanyak 32 kawasan lagi menunjukkan kualiti udara sederhana, 10 kawasan baik dan dua kawasan tiada rekod.
"Kementerian Kesihatan memantau keadaan jerebu di Malaysia menerusi 52 buah stesen pengawasan bermula 7 pagi Isnin lepas hingga 9 pagi tadi," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.
Justeru itu, beliau mengarahkan semua klinik kesihatan dan hospital supaya sentiasa bersedia menghadapi peningkatan bilangan pesakit akibat jerebu dan memastikan ubat-ubatan dan peralatan perubatan termasuk penutup mulut dan hidung sentiasa mencukupi.
Dr Subramaniam berkata pada masa sama, Kementerian Kesihatan melalui jabatan kesihatan negeri memantau penyakit berkaitan jerebu seperti demam, asma dan sakit mata di klinik-klinik sentinel terpilih di negeri yang dilanda jerebu.
Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan Pindaan 2014, sekolah, tadika dan taska boleh ditutup jika bacaan IPU melebihi 200 dan lebih 48 jam tanpa perlu mendapatkan arahan Kementerian Kesihatan.
"Bagi bacaan IPU 101-150, aktiviti luar pelajar berisiko hendaklah dihentikan dan jika bacaan IPU 151-200, aktiviti luar semua pelajar boleh dihentikan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan seperti mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, banyakkan minum air kosong serta membasuh tangan dan muka dengan sabun selepas melakukan aktiviti luar.
Menurutnya alat penghawa dingin dan penapis udara di dalam rumah boleh menambah baik kualiti udara dan pemandu juga digalakkan mengguna pendingin hawa dengan memilih mode kitaran udara dalaman.
Bagi yang mengalami masalah kesihatan akibat jerebu terutama yang berisiko seperti kanak-kanak, orang tua, perokok dan mereka yang mempunyai penyakit sistem pernafasan kronik dan jantung, beliau menasihatkan mereka supaya segera ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan jerebu menerusi laman Kementerian Kesihatan di www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my.
No comments: