Tahanan reman terhadap seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian melanggar kenderaan kastam sehingga menyebabkan seorang pegawainya maut dilanjutkan tujuh hari lagi di Mahkamah Majistret Pasir Mas di sini pagi tadi.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohamad Izuddin Mohd Shukri terhadap suspek yang dikenali sebagai Mat Yeh, 34, bermula esok dan berakhir 15 November ini untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini suspek direman selama enam hari dan berakhir hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini pada 10 Oktober lalu, Pegawai Kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Anisah Ali, 54, maut selepas pacuan empat roda dinaikinya bersama dua rakan sekerja dirempuh tonto.
Dalam kejadian jam 1.25 pagi 7 Oktober lalu, Isuzu D-MAX dinaiki Anisah bersama dua rakan sekerja dipercayai dirempuh dan dihimpit Isuzu Trooper dinaiki 'tonto' ketika mengejar penyeludup rokok sebelum ia terbabas lalu melanggar pokok di tepi jalan.
Anisah meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, jam 11.50 malam akibat kecederaan dalaman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur Duri, Kota Bharu.
No comments: