» » » Razak Baginda:dakwa tak terlibat dalam pembunuhan Altantuya dan sentiasa berada di Malaysia


Beberapa tahun selepas dibebaskan daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia, Abdul Razak Baginda membuat kemunculan awam pertamanya malam tadi.

Bercakap di majlis forum Pusat Hal Ehwal Global Malaysia (Icon) Abdul Razak duduk sepentas dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pusat Hak Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Tanpa banyak khabar berita mengenainya Abdul Razak menafikan dia menghabiskan kebanyakan masa beberapa tahun kebelakangan ini di luar negara.

"Ya, saya berada di Malaysia. Saya menghabiskan kebanyakan masa saya di Malaysia berbanding di luar negara," katanya walaupun sebelum itu cuba mengelak daripada menjawab soalan keberadaannya di Malaysia selama ini.

“Tetapi nampaknya ada tidak membuat penelitian. Saya sentiasa ada di Malaysia," katanya kepada media.

Abdul Razak yang dilihat rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadapi tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu - bersama dua anggota polis - di mahkamah pada Oktober 2006.

Bagaimanapun Abdul Razak dibebaskan daripada kesalahan itu, manakala dua tertuduh lain - Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar - disabitkan atas tuduhan berkenaan.

Sejak itu Abdul Razak tidak membuat kemunculan terbuka seperti sebelum kes pembunuhan berkenaan diketahui ramai.

Berbahasa Inggeris yang cenderung seperti British serta membuat beberapa rujukan kepada politik negara itu semasa program berlangsung, Abdul Razak bagaimanapun tidak dapat melepaskan tanggapan bahawa beliau memang menghabiskan kebanyakan masanya di luar negara.

Berhati-hati memilih kata

Walaupun program malam tadi dipromosikan sebagai majlis awam, sebelum ia bermula media diberitahu apa yang diperkatakan semasa ia berlangsung bukanlah untuk disiarkan.

Bagaimanapun Wan Saiful memberitahu media, apa yang diperkatakannya bebas untuk dipetik wartawan.

Dengan suasana itu pun Abdul Razak begitu berhati-hati memilih perkataan yang dilafazkannya dan hanya memperkatakan topik khusus untuknya - demokrasi dalam konteks global.


Ia tidak terhad kepada aspek itu saja. Seorang pengawal peribadi dapat dilihat mengekori Abdul Razak, 56, ke mana saja dia pergi sebelum program bermula sehingga sebaik ia tamat.

Bagaimanapun mungkin tidak banyak yang perlu dibimbangi Abdul Razak kerana program malam tadi hanya menarik kira-kira 50 peserta.

Dan sesi soal jawab tidak begitu menarik perhatian kerana tiada soalan sensitif dibangkitkan.

Dihampiri media selepas forum itu berakhir Abdul Razak kelihatan tergesa-gesa mahu meninggalkan tempat berkenaan dan memberitahu beliau perlu bergegas ke lapangan terbang.

"Saya tak mahu membuat sebarang kenyataan, saya tak mahu menjawab sebarang soalan, kecuali anda bertanya tentang apa yang saya perkatakan tadi," katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju memberi pandangan mengenai lawatan Najib bersama anggota delegasi lain ke China ketika ini.

Itu pun selepas dinyatakan bahawa beliau ada menulis tesis mengenai hubungan antara Malaysia dan China.

Mengakui negara itu adalah kuasa ekonomi kedua terbesar dunia, Abdul Razak berkata China akan mengatasi AS tidak lama lagi.

"Jika anda lihat kepada pola semasa, semua orang sedang berbaik-baik dengan China.

"OK, kita ada perselisihan berhubung isu Laut China Selatan, ada juga beberapa isu besar di sana sini, tetapi pada saya mengadakan hubungan baik dengan China sebenarnya bukan sesuatu yang tak elok," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .