Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Ching Sen mempertikaikan keputusan kerajaan membeli 10 buah kapal tempur persisir daripada negara China dengan kos RM3 bilion.
Ko berkata, tindakan itu dilihat tidak memberi faedah ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memotong peruntukan untuk hospital kerajaan sehingga RM300 juta dalam belanjawan baru-baru ini.
Dengan pertikaian wilayah di Laut China Selatan dengan China, keputusan Malaysia membeli kapal tempur pesisir dari negara itu amat mengejutkan, kata wakil rakyat DAP itu.
"Kos sebuah kapal tersebut adalah cukup untuk membeli ubat-ubatan penting pada kadar RM20 sebulan untuk 15 juta orang pesakit.
"Ini sama dengan membekalkan ubat bernilai RM20 sebulan kepada separuh penduduk di Malaysia. Apalah faedah membeli kapal peronda bila mana rakyat tidak boleh mendapat ubat-ubatan penting?
"Jelas sekali bahawa perdana menteri tidak menjaga kesihatan negara dengan memotong dana bagi setiap preskripsi sebanyak 24 peratus," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menurut laporan, Malaysia akan membeli kapal tempur pesisir dari China dalam kunjungan Najib ke Beijing minggu depan.
Pembelian kapal peronda itu, sekiranya diteruskan, akan menjadi pembelian pertahanan terbesar Malaysia dengan China, ketika suasana di Laut China Selatan tegang akibat persaingan antara Amerika Syarikat dan China di rantau itu.
Potongan 24 peratus
Dalam pembentangan belanjawan 2017 minggu lalu, Najib mengumumkan peningkatan sebanyak 7.8 peratus peruntukan bagi Kementerian Kesihatan iaitu dari RM23.031 bilion pada 2016 kepada RM24.8 bilion.
Namun bagi Perkhidmatan dan Bekalan, peruntukan untuk pembelian ubat-ubatan dikurangkan sebanyak 18.98 peratus iaitu pengurangan sebanyak RM302,839,900 dari RM1,595,601,600 kepada RM1,292,761,700.
Ekoran itu, dijangkakan pengurangan kos preskripsi sebanyak RM16.83- satu potongan besar sebanyak 24 peratus bagi setiap preskripsi.
Sehubungan itu, Dr Ko berkata kos perkskripsi tersebut tidak mencukupi dengan kos ubat yang kini meningkat.
"RM16.83 tidak cukup pun untuk membeli makanan tiga kali sehari di Malaysia. Kos ubatan kini tinggi dengan pelaksanaan GST ditambah pula dengan nilai ringgit yang semakin lemah.
"Bagaimana dapat dibekalkan ubat-ubatan selama sebulan untuk penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi pada kos 56 sen sehari?," soalnya.
No comments: