» » » Pengawal keselamatan maut dipercayai dipukul di Kelantan


Seorang pengawal keselamatan di kilang barang binaan di Kampung Aring 8, di sini, maut dipercayai dipukul dalam kejadian di tempat kerjanya awal pagi tadi.

Mangsa, Rozali Muslim, 29, dari Felda Aring 2, mengalami kecederaan parah di bahagian telinga, kepala dan beberapa bahagian anggota lain dan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Aring 1, kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurut kakak angkatnya, Nita Harun, 38, arwah keluar dari rumah pada jam 10 malam semalam untuk ke tempat kerja dan pulang dengan berlumuran darah pada jam 5 pagi tadi.

"Ibu saya terkejut melihat keadaan arwah dan bertanya siapa yang melakukannya. Arwah memberitahu, dia akan beritahu esok kerana nafasnya tercungap-cungap.

"Arwah terus dibawa ke klinik dan akhirnya meninggal dunia di sana. Namun, hasil daripada saksi di tempat kejadian, kami amat mengenali suspek berkenaan.

"Sebelum ini, arwah pernah dipukul teruk namun, arwah tidak mengendahkannya kerana tidak menyangka perkara ini akan jadi seteruk ini," katanya ketika dihubungi.

Tambah Nita, arwah adalah adik angkatnya sejak bayi lagi dan dijaga sepenuhnya oleh ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan pihaknya menerima maklumat kematian itu dan disyaki berunsur jenayah.

"Siasatan masih lagi dilakukan termasuk mendapatkan maklumat daripada keluarga angkat mangsa dan rakan sekerja," katanya lagi.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .