Seorang lelaki dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mengugut untuk menyebarkan gambar yang boleh mengaibkan rakan lelakinya, Rabu lepas.
Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurulsyukri Abd Hamid, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut untuk menyebarkan gambar boleh mendatangkan aib kepada kerani akaun, Mohammed Basir Suaib, 40.
Umzarul An-Nur turut menasihati lelaki itu yang bekerja sebagai pelukis batik supaya jangan terlampau mengikut emosi dan menjaga tingkah lakunya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaki lima bangunan berhampiran bangunan CIMB Bank, Jalan Tun Perak di sini, pada 10.30 pagi, 9 November lepas, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana itu kesalahan pertamanya serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
Gambar hiasan
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yusha memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keadaan mangsa kerana tertuduh telah menyebabkan mangsa trauma dan nama baiknya tercemar.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh (Nurulsyukri) dan mangsa (Mohammed Basir) dipercayai berpunca kerana tertuduh tidak berpuas hati pengadu tidak lagi melayannya dengan tidak membalas panggilan telefon dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada tertuduh.
Ketika mangsa membawa tertuduh ke lorong pejalan kaki di Jalan Tun Perak, tertuduh mengugut mahu menyebarkan gambar mangsa di laman sosial serta menjerit kepada orang awam yang berada di situ dengan mengatakan mangsa mempunyai hubungan sulit dengannya.
Hubungan sulit yang bagaimana tidak pula didedahkan.
Mangsa kemudian cuba beredar dari kawasan itu tetapi tiba-tiba tertuduh menyimbahnya dengan cat merah.
No comments: