Berkahwin empat merupakan perkara yang sudah biasa didengari, namun menempatkan keempat-empat orang isteri di bawah satu bumbung rumah adalah sesuatu yang luar biasa.
Mereka yang berkahwin dua pun tidak sanggup berbuat demikian kerana bimbang berlakunya perselisihan faham antara isteri-isteri.
Walaupun begitu, seorang penternak ayam piru dan itik di Kampung Balai Baru, Beseri di sini, berjaya membuktikan sebaliknya apabila kesemua empat isteri dikahwininya diletakkan dalam empat buah rumah sebelah-menyebelah yang bersambung bumbung dan dapur.
Menurut Mohd. Yusoff Amin, 52, dia membina rumah di atas sebidang tanah berkeluasan kira-kira 0.2 hektar itu milik isteri pertamanya, Darishah Othman, 49, dan siap sepenuhnya pada tahun lepas.
Katanya, beberapa tahun sebelum itu, rumah tersebut hanya mempunyai dua buah pintu dan menyebabkan dua isterinya terpaksa berkongsi kediaman.
“Syukurlah apabila rezeki dimurahkan Allah dan saya mampu membina dua pintu lagi serta menempatkan isteri-isteri di setiap buah rumah yang ibaratnya sebuah rumah panjang.
“Bahagian dapur bagaimanapun bersambung, tiada dinding atau pintu. Dengan cara ini membolehkan madu-madu saya serta anak-anak kami bermesra antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Yusoff atau lebih mesra dipanggil Pak Yob, berpoligami bukan senang kerana sebagai ketua keluarga, dia mesti berlaku adil terhadap kesemua isteri dan anak-anaknya.
Bagi tujuan itu, katanya, makanan akan dimasak oleh isteri-isterinya yang tidak bekerja dan seterusnya dimakan secara beramai-ramai di bahagian dapur setiap hari.
“Ramai orang tidak yakin dengan soal kewangan apabila berkahwin empat tetapi berbanding ketika beristeri seorang dahulu, rezeki saya kini lebih murah. Daripada hanya berjalan kaki, sekarang ada beberapa buah kereta.
“Kami sekeluarga yang besar membela kira-kira 400 ekor ayam piru dan 200 ekor itik di belakang rumah. Jika dahulu hendak menikmati daging ayam pun susah, sekarang sentiasa ada,” katanya.
Ditanya rahsia kebahagiaan bersama empat isterinya itu, Mohd. Yusoff berkata, jujur dan ikhlas adalah kunci segala-galanya selain tidak mudah percaya ‘cerita-cerita’ yang boleh menjejaskan keharmonian rumah tangganya.
“Apa sahaja ‘aduan’ oleh isteri kepada madu yang lain, saya dengar tetapi tidak akan sampai kepada individu itu.
Sebaliknya apa sahaja yang tidak puas hati atau berhutang, hanya dibangkit dan diselesaikan pada Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.
No comments: