Umno menegaskan parti itu tidak ada kaitan dengan serangan terhadap pameran kartunis Zunar di Komtar, semalam dan juga terhadap anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di Parlimen.
Malah, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata parti yang memperjuangkan nasib Melayu itu tidak pernah menggalakkan tindakan sedemikian.
"Ini (serangan ke atas Zunar) semua tidak ada kena mengena dengan Umno pusat dan sepertimana yang berlaku di Parlimen. Saya sudah terangkan ini semua tiada kena mengena dengan Umno pusat
"Kita tak tahu dan Umno pusat tak menggalakkan apa yang sedang berlaku kepada Khalid Samad atau kepada Zunar. Kita tak galakkan, ini bukan kerja kita," kata Tengku Adnan.
Tengku Adnan yang lebih mesra dengan panggilan Ku Nan berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran dan sesi pengundian Rumawip Residensi Wangsamas, Residensi Desamas dan Residensi Taman Danau Desa, di Desa Water Pakr, Kuala Lumpur hari ini.
Malah, mengulas lanjut anggota Parlimen Putrajaya itu turut mengingatkan dan berharap kepimpinan hari ini khususnya pemimpin pembangkang agar lebih rasional serta lebih berhati-hati dalam setiap percakapan mereka.
"Kita harapkan mereka ini lebih rasional, tapi yang buat kerja ini pun macam Zunar, macam Khalid Samad ini berhati-hati jugalah. Jangan menyakiti hati orang, bila buat soalan menyakiti hati orang ia akan jadi pergaduhan," tegas Ku Nan.
Kata Ku Nan sebagai sebuah negara demokrasi setiap daripada kita haruslah lebih bertoleransi.
"Baik Muslim, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya, kita haruslah lebih bertolak ansur. Kita tak mahu apa yang berlaku di Myanmar berlaku dalam negara kita. Kita tak mahu ia berlaku tetapi apa yang berlaku ini menimbulkan masalah kepada kita.
"Kita kena ingat, ini Malaysia, kita hidup bersama dalam landasan yang sama jadi bersatu dan bekerjasamalah kita bagi memastikan bahawa kita akan terus dapat bergerak ke hadapan," kata Ku Nan.
Pameran kartunis Zunar atau Zulfiklee Anwar Ulhaque di Komtar, Pulau Pinang semalam diserang sekumpulan orang yang tidak puas hati dengan karya-karyanya yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Serangan yang didakwa diketuai oleh seorang pemimpin Umno negeri dan NGO tempatan berlaku selepas solat Jumaat dan menuntut Zunar memberhentikan pameran itu.
Malah, menurut Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim pihaknya turut dilaporkan memberi amaran jika pameran ini berterusan kumpulan itu tidak akan teragak-agak untuk memaksa Zunar untuk menurunkan semula semua karya seninya.
Satu laporan polis juga telah dibuat kumpulan penyokong Umno yang 'terganggu' dengan pameran kartunis Zunar itu.




No comments: