Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama kira-kira 50 pengikutnya berdepan dengan sukarelawan BERSIH yang mengedarkan risalah di Bangi hari ini.
Melalui klip video dimuat naik Oriental Daily di YouTube anggota Baju Merah dilihat mengepung dan mengherdik sukarelawan berbaju kuning untuk memaksanya menjelaskan apa yang tertera pada risalah berkenaan.
Antara yang ditanya Jamal serta penyokongnya ialah maksud "kerajaan zalim" dan sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa tidak amanah.
Ketika Jamal bercakap secara bersahaja dan seakan-akan mesra dengan seorang sukarelawan, penyokongnya dapat didengar menjerit dan mengherdik lelaki terbabit.
Rakaman video itu juga menunjukkan Jamal memegang sejumlah risalah BERSIH yang dipercayai dirampas daripada seorang sukarelawan lain yang ada di situ.
Lelaki terbabit - yang kelihatan lebih berusia - ditolak ke tepi oleh anggota Baju Merah apabila meminta risalah berkenaan dikembalikan.
Bagaimanapun penyokong Jamal dilarang menyentuh sukarelawan yang terkepung itu - dipercayai arahan daripada anggota polis.
"Kami tak sentuh dia. Kami cuma nak dia jelaskan supaya kami faham. Kami di sini bukan nak bergaduh," kata seorang daripada anggota kumpulan Baju Merah.
Kelihatan terganggu dengan kekecohan itu sukarelawan berkenaan mencadangkan Jamal dan penyokongnya bertanya kepada jurucakap BERSIH.
Namun Baju Merah menjawab, jika sukarelawan itu tidak tahu apa yang diedarkan mereka kepada orang ramai, tidak ada keperluan untuk BERSIH berbuat demikian.
BERSIH sedang menjalankan kempen dan promosi di pelbagai lokasi di seluruh negara untuk mengajak orang ramai turun ke Kuala Lumpur pada 19 November ini sempena perhimpunan BERSIH5.
No comments: