DAP menggesa kerajaan supaya menghentikan amalan cabutan khas dalam aktiviti nombor ramalan untuk tahun 2017 dan seterusnya.
Ketua Whip DAP Anthony Loke berkata perkara itu hanya membebankan rakyat dan mengurangkan pendapatan boleh guna golongan berpendapatan rendah.
"Sejak kami dipilih sebagai ahli parlimen pada 2008, kami telah berkali-kali menyeru kementerian kewangan untuk menghentikan amalan cabutan khas nombor ramalan yang kesannya akan membebankan rakyat dan juga menghakis pendapatan boleh guna golongan berpendapatan rendah.
"Kami difahamkan golongan berpendapatan rendah merupakan kelompok yang seringkali terjebak dengan perjudian nombor ramalan.
"Demi kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan menjana peningkatan permintaan domestik, kami menggesa agar (Menteri Kewangan II) Datuk Johari Abdul Ghani dan Kementerian Kewangan menghentikan cabutan khas pada tahun 2017 dan tahun-tahun seterusnya " kata Loke.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Sidang media itu turut disertai Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan Liew Chin Tong.
Jelasnya lagi, suasana hari ini memerlukan peningkatan permintaan domestik yang lebih tinggi untuk menjana pertumbuhan ekonomi.
"Tindakan menghentikan amalan cabutan khas adalah salah satu langkah yang perlu dipertimbangkan oleh kementerian kewangan," katanya.
Syarikat nombor ramalan seperti Magnum, Sports Toto dan Da Ma Cai telah menjalankan cabutan khas sekurang-kurangnya 18 kali cabutan sejak awal tahun 2016.
Ia akan menjangkau 22 kali cabutan khas dalam tahun 2016.
Terdahulu, sejak berlakunya insiden wabak nipah pada 1999, kementerian kewangan membenarkan cabutan khas pada hari Selasa tertentu dan hasil daripadanya akan dikira sebagai kutipan untuk kerajaan.
Sementara itu Loke berkata, pihaknya telah melakukan perbincangan dengan Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani mengenai perkara itu dan cadangan itu disambut baik.
No comments: