'Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia' yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Dzulkifli Ahmad semalam menzahirkan ketegasan dan nekad badan itu untuk memerangi rasuah dan perlu disambut baik.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Dzulkifli telah berjaya mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang 100 hari beliau berkuasa sebagai ketua baru.
“LPPR yakin langkah pertama yang dilaksanakan oleh Dzulkifli ketika menerajui SPRM dalam
tempoh tersebut akan berterusan hingga mencapai matlamat negara bebas rasuah sekali gus membolehkan perkhidmatan terhadap rakyat dioptimumkan serta pelan pembangunan yang
direncanakan oleh kerajaan akan terlaksana sepenuhnya.
“Berdasarkan 'Warkah Terbuka Untuk Rakyat Malaysia' yang disampaikan oleh Dzulkifli sempena majlis 100 hari perlantikan beliau semalam, ia memperlihatkan tekad dan kesungguhan SPRM yang perlu disambut baik dengan kerjasama oleh setiap golongan masyarakat,” kata kenyataan itu.
Semalam, Dzulkifli mengingatkan ahli politik dan pemimpin masyarakat supaya tidak mengaburi mata rakyat dengan cerita 'dongeng' dan dalam pada masa sama mengambil rasuah.
"Jangan hanya mahu didendang dan dijulang di persada takhta, sedangkan pertimbangan dan kepentingan dibiar alpa.
"Hentikanlah membuai para marhaen dengan ciptaan dan dongengan yang mengaburi kebenaran, sedang jari jemarimu terus rakus meragut habuan," katanya.
Mengulas lanjut LPPR, juga mahu kerajaan mempertimbangkan semula peruntukan kewangan kepada SPRM yang dikurangkan pada Bajet 2017 berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“LPPR memahami kehendak kerajaan bagi merancakkan pertumbuhan, memastikan pengurusan
fiskal secara berhemah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, fokus pencegahan rasuah juga perlu diberi perhatian penuh demi mencapai matlamat tersebut,” kata lembaga itu.
Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar pula mengingatkan SPRM tidak pilih kasih atau takut ketika menyiasat kes rasuah.
“Jalankan tugas dengan telus dan ikhlas untuk terus mendapat kepecayaan rakyat dan mengurangkan tahap rasiuah di negara ini.
“TI-M turut berpandangan usaha memperkukuhkan SPRM ini perlu disusuli dengan sokongan padu seluruh pihak termasuk pihak kerajaan untuk mempertimbangkan semula peruntukan kewangan SPRM pada Bajet 2017 baru-baru ini agar segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur,” katanya.
“TI-M turut berpandangan usaha memperkukuhkan SPRM ini perlu disusuli dengan sokongan padu seluruh pihak termasuk pihak kerajaan untuk mempertimbangkan semula peruntukan kewangan SPRM pada Bajet 2017 baru-baru ini agar segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur,” katanya.
No comments: