Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lau Weng San mendakwa ADUN BN dari Selangor menggunakan peruntukan kawasan untuk perbelanjaan pejabat dan bukannya menjaga kebajikan rakyat.
Dalam kenyataannya, Lau berkata, mengikut makluman oleh pejabat Menteri Besar , hampir kesemua ADUN BN telah menggunakan peruntukan RM6,000 sebulan selama tujuh hingga lapan bulan pada tahun ini untuk tujuan berkenaan.
"Mustahil ADUN BN di Selangor tidak tahu tentang peruntukan kawasan RM200,000 kepada mereka dan peruntukan ini boleh diguna untuk kebajikan dan kebaikan rakyat.
"Para ADUN BN telah didapati mengguna peruntukan sebanyak RM6,000 sebulan untuk perbelanjaan pejabat masing-masing tetapi tidak untuk kebajikan rakyat," ujar beliau lagi.
Pada bulan Mac tahun ini, menurutnya, kerajaan negeri telah membenarkan semua ADUN untuk menggunakan sebahagian (RM6,000 sebulan) daripada peruntukan kawasan untuk menampung perbelanjaan pejabat masing-masing melalui pekeliling PWN.Sel(A)294Jld.6(32).
Perenggan 2.1 dalam pekeliling yang sama sekali lagi menyebut ADUN pembangkang diperuntukkan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun.
Justeru, adalah menghairankan untuk kesemua ADUN BN mendakwa mereka tidak tahu tentang peruntukan sebanyak RM200,000 ini, katanya.
"Bagaimana ADUN BN boleh terlepas pandang dan seterusnya mendakwa bahawa mereka tidak tahu tentang peruntukan sebanyak RM200,000 ini.
"Mengapa ADUN BN menolak tawaran ini dua tahun yang lalu tetapi dengan senyap-senyap menggunakan sebahagian daripada peruntukan ini tahun ini," katanya lagi.
Oleh itu, ADUN BN dinasihatkan agar berlapang dada dan membuangkan perasaan hasad dengki terhadap dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor, ujar Lau lagi.
No comments: