Remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggang melanggar belakang lori sampah yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 17 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di Kijing, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa, Afiq Asyraf Noor Hafizin daripada Lot, 16, beralamat dari Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari arah Kuala Terengganu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori sampah berkenaan.
Rempuhan yang kuat itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segera itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.
Difahamkan mayat anak anggota polis dari IPD Marang itu juga telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dibawa ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan bagi urusan pengebumian.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali yang mengesahkan menerima laporan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
No comments: