» » » Pekerja karaoke dipenjara 6 bulan kerana jual cuti sakit


Gara-gara memalsukan cuti sakit dan menjualnya dengan harga RM25, seorang wanita dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Husna Dzulkefly menjatuhi hukuman tersebut ke atas Nurul Hidayah Mohammad, 24, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di hadapan Pasaraya Ong Tai Kim, Jalan Sentul Pasar, di sini, pada 1 tengah hari, 2 Ogos lepas.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas juruwang di sebuah pusat karaoke itu bermula hari ini.

Nurul Hidayah didakwa memalsukan sijil cuti sakit kosong yang dicop dengan nama Doktor Mohd Fakarrudin, Pegawai Perubatan WD44, Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta cop jabatan tersebut berserta alamat.

Dia didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama memandangkan kes tersebut menjadi viral di aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu supaya tidak dikenakan hukuman penjara.

“Saya sakit dan tinggal berdua bersama ibu saya,” katanya yang menangis teresak-esak.

Mengikut fakta kes, pengadu, Penolong Pegawai Kanan HKL di unit tatatertib cawangan sumber manusia telah membuat laporan polis selepas pihak pengurusan HKL menerima viral mesej WhatsApp berhubung sijil cuti sakit palsu yang ditawarkan oleh tertuduh.

Bertindak daripada maklumat itu, pada 2 Ogos lepas, pukul 12.55 tengah hari, pengadu dengan bantuan anggota polis dari Balai Polis Sentul, telah berjumpa dengan seorang wanita di tempat kejadian.

Wanita itu menyerahkan sekeping sijil cuti sakit kosong yang dijual dengan harga RM25 sebelum ditahan polis.

Hasil siasatan didapati penama Doktor Mohd Fakarrudin tidak berkhidmat di HKL.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .