Bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memohon untuk mengemukakan bukti baru dalam permohonan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Bukti baru tersebut adalah klip video selama 26 saat yang memaparkan kelibat seperti Apandi dalam aksi menari bersama beberapa anggota kabinet semasa perarakan Hari Merdeka tahun ini.
"Permohonan ini adalah bertujuan meminta kebenaran daripada mahkamah untuk memperkenalkan bukti baru dalam pertimbangan permohonan utama untuk semakan kehakiman.
"Mahkamah telah diberikan hujahan bertulis dari kedua-dua belah pihak dan mahkamah kini menetapkan perkara ini akan diputuskan bersama-sama dengan permohonan semakan cuti kehakiman," kata peguam Khairuddin, Mohd Haniff Khatri Abdulla kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Ujar beliau, mahkamah menetapkan keputusan pada hari yang sama iaitu 11 November supaya boleh memberikan 'pendekatan holistik' mengenai perkara itu.
Klip video tersebut didedahkan buat pertama kalinya oleh Haniff yang berhujah mengenai ketidak wajaran untuk Apandi selaku peguam negara untuk dilihat berdansa bersama para menteri, terutamanya ketika pihak kerajaan terbabit dalam skandal 1MDB.
Sebelum ini, Khairuddin turut memfailkan dokumen tuntutan mahkamah Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bagi menyokong permohonan semakan kehakiman terhadap Apandi.
Selain Khairuddin, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan Majlis Peguam Malaysia juga telah memfailkan tindakan yang berasingan terhadap Apandi ekoran membuat keputusan membersihkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
No comments: