Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak yakin mantan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bakal dipecat daripada Umno berikutan kenyataan yang ditimbulkan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Penyelarasnya, Datuk Hamidah Osman berkata, ia dibuktikan dengan pelbagai kritikan yang telah dibuat segelintir pimpinan tertinggi Umno selepas persoalan itu diluahkan Ahmad Husni.
"Melihat keadaan hari ini, boleh saya katakan Umno telah hilang pertimbangan. Sesiapa yang menentang arus pasti akan jadi mangsa.
"Saya tak terkejut kalau beliau dipecat sebab kita dapat lihat sudah ada kritikan dibuat selepas persoalan itu ditimbulkan. Perkara lain mungkin menyusul," katanya.
Sebelum ini, dalam perbahasan ucapan Bajet 2017, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan tujuan 1MDB ditubuhkan selain tindakan yang mungkin dikenakan terhadap pengurusan agensi itu jika didapati bersalah.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mempersoalkan status bayaran yang diterima kerajaan berkaitan penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia kepada sebuah syarikat Cina.
Menurut Hamidah, pihaknya juga tidak menolak akan ada pimpinan Umno lain yang akan mempersoalkan tentang 1MDB sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan lembaga disiplin parti terhadap Ahmad Husni.
"Sebabnya, kalau diam (tindakan disiplin) maknanya betullah apa yang dipersoalkan Ahmad Husni dan dari situ akan ada lagi yang akan buka mulut tentang 1MDB ini," katanya.
Selain itu, Hamidah berkata, skandal 1MDB yang diluahkan pelbagai pihak pada ketika ini membuka mata semua golongan sekaligus mencalarkan kredibiliti Umno selaku kerajaan memerintah.
"Kalau dulu mungkin ada yang kata 1MDB ini fitnah yang sengaja ditohmahkan kepada kerajaan namun kita dapat lihat suasana itu telah bertukar dan mata rakyat sudah luas terbuka," katanya.
No comments: