Dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh lori dalam kemalangan di kilometer 436 Jalan Betong-Sarikei-Meradong, berdekatan simpang Jalan Kim San, Sarikei , malam tadi.
Kemalangan jam 8.20 malam itu menyebabkan Azrul Azzahar Tahir, 24, dan adiknya Zulaikha Tahir, 13, maut di lokasi kejadian kerana tersepit dalam kereta yang dinaiki.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, kereta yang dipandu Azrul gagal memotong sebuah treler sebelum merempuh lori di laluan bertentangan.
Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala dan badan.
"Mayat di hantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya terpaksa memotong bahagian kereta yang remuk untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
No comments: