» » Yakin Pembangkang BERSATU boleh letak calon satu lawan satu dengan BN dalam PRU nanti


Timbalan Presiden PKR, Mohd Azmin Ali melahirkan keyakinan dalam memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya umum akan datang, walaupun dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan kemungkinan pilihan raya awal.

“Saya selalu optimis," katanya hari ini ketika disoal.

“Kita lihat apabila PKR dibentuk pada tahun 1999 dan kita menyertai pilihan raya sebagai sebuah parti baru, kita juga mendapat tempat apabila beberapa parti yang lebih lama ketika itu seperti DAP dan PAS memberikan laluan kepada PKR.

“Saya kira ini boleh dicapai dalam suatu pembincangan dan muafakat atas kepentingan dan kerangka yang lebih besar, bagi melakukan perubahan di peringkat negara,” katanya.

Azmin, yang juga menteri besar Selangor, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis program World Quran Hour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak hari ini.

Katanya, perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi telahpun diadakan, dan jentera parti PKR bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, PKR akan mempertimbangkan semua pilihan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN, di samping menjaga kepentingan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, hubungan kerja PKR dengan PAS, dan penampilan BERSATU di arena politik.

BERSATU - parti serpihan Umno yang diketuai oleh bekas presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin - diluluskan secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan sebagai sebuah parti politik baru pada Jumaat lalu.

Ditanya sama ada BERSATU akan menyertai gabungan Pakatan Harapan, Azmin berkata perkara itu perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.

Walau bagaimanapun, beliau mengandaikan parti baru itu akan berperanan penting pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya yakin bahawa dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan keupayaan dan pengalamannya, beliau mempunyai daya tarikan kuat terhadap pengundi Melayu, terutamanya ahli-ahli Umno," katanya.

Beliau berharap kekuatan BERSATU akan memperkukuhkan gabungan Pakatan Harapan dan PAS dalam memastikan kemenangan untuk pembangkang pada pilihan raya umum ke-14.

Sebelum ini, Bloomberg memetik dua ketua bahagian Umno yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa pilihan raya mungkin diadakan pada Mac tahun depan, manakala naib presiden Gerakan Dominic Lau dilaporkan berkata parti itu telah diarahkan untuk bersedia menghadapi pilihan raya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .