Tidak lama lagi Johor akan muncul dengan modul pembelajaran yang membawa persefahaman dan perpaduan berlandaskan acuan Bangsa Johor.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata anak-anak di negeri itu akan dididik supaya bersatu dan saling menghormati anutan dan perbezaan bangsa masing-masing.
Bercakap pada sidang media Tengku Mahkota Johor itu berkata beliau berharap dalam tempoh terdekat kerajaan negeri itu akan menghasilkan modul pembelajaran tersendiri.
"Saya harap dalam masa terdekat - tak kisah tahun ini atau tahun depan atau tahun-tahun akan datang kerajaan Johor akan beri modul pembelajaran kepada anak-anak Johor
"Pada masa depan tidak ada lagi sekolah (Tamil), Cina, Melayu di Johor. Sekolah agama (Islam) masih ada untuk agama kita tetapi (yang ada hanya) sekolah Bangsa Johor," katanya.
Menurut beliau setiap orang perlu dididik sejak kecil untuk menghormati agama antara satu sama lain, juga menghormati bangsa dan kaum yang pelbagai.
Beliau yang biasanya dilihat lebih banyak terlibat dalam sukan bola sepak - khususnya melalui kelab JDT - juga mengakui mempunyai pelan lebih besar untuk negeri itu.
"Tanggungjawab saya dalam bola sepak ni kecil saja sebenarnya," kata beliau dalam klip video dimuat naik di Facebook hari ini.
Tunku Ismail juga menjelaskan jika di Johor ada Bangsa Johor di peringkat pusat juga ada konsep sama iaitu 1Malaysia.
Bagaimanapun konsep itu dilihat beliau tidak berkesan.
"Awak beri saya satu jawapan, mana 1 Malaysia.
"Awak ada sekolah (Tamil), awak ada sekolah Cina, awak ada sekolah Melayu (kebangsaan).
"Dari kecil awak dah ajar dia (pelajar) jangan bersatu, lepas tu (apabila) besar awak suruh dia bersatu?" katanya.
No comments: