» » Tindakan Jamal 'baju merah' beri RM1 ribu kepada ketua cawangan buktikan UMNO amalkan politik wang dan rasuah


Veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim menyifatkan tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos yang memberikan wang tunai berjumlah RM1,000 mengesahkan parti itu mengamalkan politik wang.

Katanya, tindakan itu sekali gus memalukan Umno yang di label negatif sebahagian besar rakyat sekarang, lapor Astro Awani.

"Apa yang dilakukan Jamal seperti terma dalam politik wang, korupsi salah guna kuasa, membazir dan membeli pengaruh.

"Apabila Jamal membuat pengumuman itu, dengan sendirinya dia membuat kepastian tentang apa yang diserlahkan masyarakat terhadap Umno.

"Ini merunsingkan saya jika tauladan ini dikemukakan kepada khalayak. Umno akan sentiasa berada dalam kancah negatif khasnya mereka yang berada dalam barisan pimpinan Barisan Nasional (BN) pada ketika ini," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Malaysiakini pada Ahad lalu,melaporkan Jamal terpaksa membatalkan janjinya untuk membawa semua ketua cawangannya bercuti ke Dubai.

Sebaliknya, janji percutian itu ditukarkan dengan pemberian wang tunai berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua cawangan berkenaan.

Namun, selepas mendapatkan penjelasan dari Jamal sendiri, pihaknya berkata wang RM1,000 itu diagihkan kepada setiap ketua cawangan dan termasuk 646 perwakilan Umno.

Jamal turut menjelaskan pemberian RM1,000 itu adalah hasil sumbangan pihak tertentu dan tabungan yang dibuat mereka sebelum ini.

Malah, Jamal berkata sumbangan tersebut diperolehi oleh mereka bagi tujuan lawatan sambil belajar ke Dubai yang sepatutnya dijadualkan pada awal tahun ini.

Sementara itu, dakwaan Rais terhadap Jamal yang melakukan politik wang turut dimuat naik di laman Twitternya.

Rais yang juga penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan turut mempersoalkan isu yang timbul pada masa pimpinan parti sedang berhadapan dengan tohmahan dan keadaan yang tidak menyenangkan.

"Tidak pernah seorang pemimpin Umno di peringkat ketua bahagian yang membuat pengakuan seumpama itu ketika ini.

"Saya kena nasihatkan. Adakah selama ini anda guna duit untuk membuat lawatan, berfoya-foya kepentingan remeh dan sebagainya.

"Orang boleh membuat perbandingan. Mengapa tidak diguna duit itu kepada anak-anak yatim atau kegunaan kelas tambahan kepada masyarakat," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Majlis Tertinggi (MT) Umno juga seharusnya membuat teguran itu dan meminta mana-mana pemimpin parti menghentikan perbuatan seperti Jamal.

Katanya, ketika beliau berada di dalam parti Melayu itu, perkara tersebut tidak pernah berlaku.

"Selama ini saya di dalam Umno, tidak pernah ada seorang pemimpin yang mengaku mengagih duit secara menyeluruh. Jadi MT perlu berbuat sesuatu," beliau dilaporkan sebagai berkata.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .