Siswazah di negara ini perlu mengikis pemikiran lebih baik menganggur sehingga mendapat pekerjaan yang sesuai, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.
Menurutnya sikap terlalu memilih kerja sangat merugikan negara kerana terdapat sektor yang amat memerlukan tenaga kerja.
"Siswazah menganggur selain merugikan sektor yang memerlukan tenaga kerja akan turut merugikan diri mereka sendiri. Saya minta mereka ini gunakan kebijaksanaan memilih hala tuju kerjaya mereka.
"Saya yakin kelayakan dan pengalaman yang dimiliki sepanjang melanjutkan pelajaran mampu membantu mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan yang sebenar," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti untuk Negeri Sembilan, Melaka dan Johor di sini hari ini.
Majlis yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Durian Tunggal di sini menyaksikan seramai 1,885 graduan menerima sijil masing-masing bagi 25 program antaranya Multimedia Kreatif Pengiklanan, Kulinari dan Penyelenggaraan Bangunan serta Dandanan Rambut.
Untuk rekod, statistik menunjukkan siswazah yang menganggur sehingga tahun 2016 dianggarkan lebih daripada 500 ribu orang .




No comments: