Pemuda PKR mahu peristiwa berjabat tangan antara pemimpin de factonya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi punca perpaduan dan bukan perpecahan.
Ketika dihubungi, timbalan ketuanya Dr Afif Bahardin berkata pemimpin-pemimpin Umno yang memberikan pelbagai komen mengenai pertemuan itu kini bimbang apabila kedua-dua musuh ketat sejak 18 tahun lalu bertemu.
"Ini adalah peritiwa yang dibimbangi pemimpin Umno, mereka tak tahu apa nak buat kerana sukar untuk cari peristiwa lain yang padan dengan apa yang berlaku pada 5 September," kata Afif kepada Malaysiakini.
"Jika semuanya berjalan lancar, Umno malang," kata exco Pulau Pinang itu.
Beliau merujuk kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang percaya 'pertemuan bersejarah' antara Mahathir dan Anwar boleh menyebabkan ahli-ahli PKR yang tidak berpuas hati keluar parti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menyifatkan langah tersebut sebagai politik terdesak.
Insiden mengejutkan berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam apabila Mahathir muncul untuk menyokong usaha Anwarmencabar Akta Majlis Keselamatan Negara.
Ia adalah pertemuan pertama mereka selepas 18 tahun, berikutan pemecatan Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri oleh Mahathir.
Anwar didakwa atas tuduhan liwat dan rasuah tetapi dibebaskan atas tuduhan liwat pada 2004.
Bekas ketua pembangkang itu sekali lagi didakwa melakukan kesalahan liwat pada 2008 dan menjalani lima tahun penjara sejak Februari tahun lalu.
Beliau bagaimanapun sentiasa menafikan kedua-dua tuduhan itu.
No comments: