Ketua Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah mengingatkan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali supaya bersikap berkecuali dan tidak dilihat terlalu rapat dengan pemerintah.
Raja Kamarul Bahrin berkata tindakan Apandi menari bersama sekumpulan menteri dalam satu acara minggu lalu - dipercayai ketika sambutan Hari Kebangsaan - hanya menjejaskan imej berkecualinya, terutama dalam hal berkaitan 1MDB.
“Saya rasa peguam negara perlu berkecuali dalam isu ini kerana dia orang paling utama menentukan apa-apa tindakan perundangan.
“Jadi itulah, dia (sepatutnya) tidak kelihatan terlalu rapat dengan pemerintah. Dengan tindakan sedemikian rupa (menari bersama menteri) menjejaskan kedudukan berkecualinya dalam kerajaan," katanya.
Raja Kamarul Bahrin yang juga anggota parlimen Kuala Terengganu berkata AMANAH memandang insiden itu dengan kebimbangan.
Kedudukan berkecuali Apandi, katanya, lebih diperlukan terutama ketika isu skandal 1MDB masih hangat diperkatakan.
Sebelum ini peguam bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad, Haniff Khatri Abdulla memuat naik klip video memaparkan Apandi menari bersama sekumpulan menteri dan mempersoalkan tingkah laku itu.
Katanya, tindakan Apandi memakai pakaian sama seperti dikenakan menteri ketika itu sekali gus menampilkan “tingkah laku boleh dipersoal” berhubung kemungkinan konsep dan prinsip keadilan asasi.
Kata Haniff, dalam konsep itu, keadilan bukan sahaja dilakukan, namun hendaklah nampak dilakukan dan perhubungan peguam negara hendaklah di tahap profesional tertinggi.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata konteks tindakan Apandi menari itu perlu dilihat kepada persoalan mengapa tidak ada tindakan terhadap Malaysian Official 1 (MO1) sehingga kini.
Katanya sebagai peguam negara Apandi adalah orang yang boleh mengambil tindakan terhadap MO1.
“Kalau saya nak saman, ketua pembangkang nak saman (kami) tidak ada hak untuk bawa kes itu tapi peguam negara mewakili negara dan rakyat (dan boleh bertindak begitu).
“Masalahnya bukti sudah cukup dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), maklumat diperolehi Jabatan Kehakiman AS dan semua maklumat berkatan namun tak ada tindakan nak dakwa (walaupun) telah disahkan oleh menteri BN bahawa MO1 adalah Najib sendiri,” katanya.
Khalid dan Raja Kamarul Bahrin ditemui media di Kuala Lumpur selepas menyampaikan surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta isu 1MDB dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-raja yang dijadual berlangsung pada Oktober nanti.
Turut mengiringi penyerahan surat itu ialah Naib Ketua Pemuda AMANAH Wan Anwar Wan Ibrahim.
No comments: