Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Ansar telah diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Ahad.
"Ya, saya mengesahkan," katanya yang dipetik Bernama hari ini.
Kementerian Luar Sri Lanka, dalam kenyataan di laman sesawangnya, berkata pesuruhjaya tinggi itu diserang oleh sekumpulan orang.
"Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang tempatan di Malaysia dan pihak berkuasa tempatan berkaitan yang lain bagi mengenal pasti pelaku dan juga membantu siasatan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, akhbar Daily MirrorSri Lanka, melaporkan pesuruhjaya tinggi itu mengalami kecederaan di kepalanya manakala eorang lagi pegawai pejabat suruhanjaya itu turut cedera.
Menurut laporan itu, kumpulan pegawai Sri Lanka berkenaan bertembung dengan kumpulan penunjuk perasaan di lapangan terbang ketika mereka tiba untuk mengucapkan selamat jalan kepada rombongan ahli parlimen Sri Lanka yang mengiringi bekas presiden negara itu, Mahinda Rajapaksa.
Akhbar itu memetik bekas menteri Sri Lanka, Johnston Fernando sebagai berkata serangan itu dilakukan oleh sekumpulan penunjuk perasaan yang membantah kehadiran bekas presiden itu.
"Penunjuk perasaan meminta pesuruhjaya tinggi memberitahu di mana Rajapaksa tetapi beliau menyuruh mereka menghubungi polis dan mendapatkan maklumat itu daripada pihak berkuasa.
"Penunjuk perasaan yang berang dengan jawapan itu kemudiannya menyerang pesuruhjaya tinggi itu hingga dahinya berdarah,” petik laporan itu.
Rajapaksa dilaporkan sedang melawat Malaysia sehingga esok, dan beliau bersama delegasinya dilaporkan masih dalam keadaan selamat.
Kehadirannya pada satu sidang di Kuala Lumpur Jumaat lalu, bagaimanapun, menarik kehadiran kumpulan penunjuk perasaan ke Pusat Dagangan Dunia Putra untuk mendesak kerajaan mengusir bekas presiden itu dari negara ini.
Sesetengah pihak beranggapan kejayaan terbesar pentadbiran Rajapaksa adalah menewaskan pemberontakan bersenjata oleh Barisan Pembebasan Harimau Tamil Eelam pada 2009, yang menamatkan perang saudara 26 tahun di negara itu.
Walau bagaimanapun, para pengkritik menuduh pentadbirannya melakukan jenayah perang, termasuk merogol, menculik dan menyembelih rakyat etnik Tamil di utara Sri Lanka.
No comments: