» » Peserta Himpunan Tangkap Najib Razak terus berarak dan tak endahkan arahan pihak polis


Kumpulan pelajar yakin akan mengumpulkan ribuan peserta dalam himpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, dengan larangan polis adakah sasaran itu dapat dicapai?

Perhimpunan hari ini bertujuan mendesak tindakan diambil terhadap “Malaysian Official 1”, sosok misteri yang didakwa mendapat AS$731 juta wang “curi” yang berpunca daripada 1MDB?

Bermula pada jam 2 petang, beberapa titik pertemuan ditetapkan, iaitu pusat beli belah Sogo yang dipimpin mahasiswa dan aktivis serta Masjid Negara (dipimpin ahli politik).

Mereka kemudian dijangka berarak ke Dataran Merdeka.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak memberikan kebenaran untuk kawasan bersejarah itu digunakan.

Pihak polis pula memberi amaran bertindak jika ia dilangsungkan.

Dalam perhimpunan “Tangkap Najib” tahun lepas, pihak berkuasa membuat tangkapan awal sebelum acara bermula.

Dalam himpunan hari ini, hanya aktivis pelajar dibenarkan memberi ucapan di Dataran Merdeka.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini menjadi pengkritik utama kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dijangka hadir dalam acara hari ini.

Ikuti laporan langsung Malaysiakini dari Dataran Merdeka bermula jam 1 petang ini.

Berarak ke Dataran
2.50pm Sogo: Anis Syafiqah umumkan bahawa mereka akan mula berarak ke Dataran Merdeka. Orang ramai bergerak sambil melaungkan slogan “Hidup Rakyat”.

2.50pm Dataran Merdeka: Kira-kira 30 orang kelihatan berkumpul di luar Restoran Rohani dekat Dataran Merdeka dengan pelbagai jenis poster mengecam MO1.

Tak endah arahan bersurai dari polis

2.45pm Masjid Negara: Kira-kira 300 orang yang telah berkumpul di Masjid Negara sejak jam 1.45 petang tadi telah mula berarak ke Dataran Merdeka.

Sebelum mereka berarak, wakil kepada Ketua Polis Dang Wangi ASP Mohd Zain memberi amaran supaya pihak yang berkumpul bersurai.

Mohd Zain berkata, protes jalanan merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang.

"Saya wakil polis Dang Wangi ingin memberi amaran, mana-mana penganjuran perhimpunan atau protes jalanan menyalahi kesalahan.

“Justeru saya mohon kepada semua bersurai," kata Mohd Zain.

Bagaimanapun, arahan berkenaan tidak diendahkan.

Mereka kini berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Raja.

Ketika berarak mereka melaungkan "Hidup Rakyat" dan "Tangkap MO1".

Ada antara mereka menaiki lori untuk mengetuai perarakan dari Masjid Negara.

2.40pm-SOGO: Di samping hitam-putih yang menjadi warna rasmi himpunan, kelihatan juga bendera pelangi yang melambangkann perjuangan hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dikibar.

Seorang wanita Ng Xiang Yi yang memegang bendera itu memberitahu Malaysiakini beliau menyokong himpunan hari ini tetapi berharap isu gender juga dapat diberi perhatian.

“Kita harap lebih ramai orang bersuara (dalam isu gender),” kata Ng Xiang Yi.

2.30pm Dataran Merdeka: Lebih 500 anggota polis difahamkan diarah berkawal di sekitar Dataran Merdeka bagi menjaga keamanan sepanjang himpunan #TangkapMO1 berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Malah sehingga jam ini kira-kira 50 orang peserta himpunan mula berkumpul di persimpangan Jalan Parlimen dan Jalan Raja.

Di ruang udara pula dua buah helikopter berlegar-legar memantau persekitaran bandar Kuala Lumpur.

Menurut salah seorang anggota polis yang ditemui beliau bersama pasukannya telah tiba di Dataran Merdeka seawal jam 9.00 pagi.

Anis Syafiqah di Sogo

2pm: Jurucakap himpunan Anis Syafiqah Md Yusof tiba di Sogo dengan trak pikap.

Seorang anggota kumpulan itu bercakap kepada orang ramai sambil berterima kasih kepada polis yang bertugas.

“Untuk pengetahuan semua, perhimpunan aman hari ini akan dibantu kawal selia oleh DAPSY dan AMANAH,” katanya kepada kira-kira 400 peserta di situ.

Mula berkumpul di Masjid Negara

2.00pm Dataran Merdeka: Kelihatan dua buah trak polis yang membawa muatan penuh anggotanya tiba di depan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

1.55pm Masjid Negara: Orang ramai mula berkumpul di perkarangan Masjid Negara bagi mendengar ucapan pimpinan pelajar serta wakil parti politik.

Ketika ini, kira-kira 50 orang berkumpul di sekitar Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih yang bertulis “Mahasiswa dan rakyat Tangkap MO1” dan baju berwarna hitam.

Antara pimpinan politik yang kelihatan ialah Naib Presiden PKR Tian Chua, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad dan beberapa ADUN DAP.

Selain itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut berada di perkarangan masjid.

Lelaki dengan Bendera Johor

1.50pm SOGO: Seorang lelaki yang membawa poster bendera Johor yang turut memuatkan tulisan Bangsa Johor dan #TangkapMO1 mencuri perhatian ramai, termasuk media.

Memperkenalkan dirinya sebagai Kapten Anwar, lelaki 38 tahun dari Kluang itu tampil dengan jersi pasukan JDT yang dimiliki Tunku Mahkota Johor.

Beliau berkata hadir ke acara hari ini kerana tidak puas hati dengan kepimpinan Najib.

“Perkara yang tidak telus, tidak amanah mesti ditamatkan segera,” katanya.

Persediaan ditangkap polis

1.30pm SOGO: NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menempatkan 20 orang petugas bagi membantu peserta yang mungkin ditangkap polis.

Seramai 10 orang ditempatkan di Sogo manakala selebihnya di Masjid Negara.

“Bagi nama, alamat, nombor kad pengenalan dan balai polis mana kamu ditahan.

“Kami akan pergi sana dan bantu,” kata penyelaras kumpulan itu Dobby Chew kepada Malaysiakini.

Sementara itu, kelihatan juga individu yang hadir dalam sidang media kumpulan Baju Merah Datuk yang diketuai Datuk Jamal Yunos di kalangan orang ramai yang berkumpul.

Baju Merah yang berbeza pandangan sudah membatalkan hasrat untuk turut berkumpul pada hari ini.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .