» » Penganjur demo #TangkapMO1 jumpa polis esok


Menjelangnya perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos ini, penganjur perhimpunan itu akan menghantar notis kepada polis esok.

Jurucakapnya, Anis Syafiqah berkata notis itu akan dihantar 10 hari sebelum perhimpunan itu berlangsung seperti dikehendaki undang-undang.

“Kami akan serah notis itu ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi esok," katanya kepadaMalaysiakini.

Menurut Anis mengenai lokasi dan kebenaran menggunakan kawasan itu, ia juga akan dibincangkan dalam pertemuan dengan pihak berkuasa esok.

Kumpulan belia yang memperkenalkan diri sebagai “Gabungan #TangkapMO1” merancang perhimpunan serentak di dua lokasi berasingan pada 27 Ogos ini, iaitu di Kota Kinabalu, Sabah dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Di ibu kota kumpulan itu merancang berkumpul di beberapa lokasi sebelum berarak menuju tempat terakhir di Dataran Merdeka.

Perhimpuan itu diadakan sebagai reaksi kepada saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap pelbagai aset yang didakwa diperoleh melalui penyelewengan dana berkaitan 1MDB.

Antara individu dinamakan dalam dokumen berkenaan ialah seseorang yang hanya dikenali sebagai Malaysian Official 1 (MO1).

PM tidak dinamakan

Setakat ini tiada mana-mana pihak memberi pengesahan rasmi siapakah MO1 berkenaan namun Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata identiti individu terbabit bukan rahsia lagi.

Katanya, setiap orang yang membaca dokumen-dokumen mahkamah atau mengetahui isu berkenaan akan tahu siapa orang yang sedang dirujuk.


Nama MO1 disebut 36 kali dalam dokumen mahkamah dikemukakan DOJ yang setebal 136 halaman itu.

"Hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu," katanya pada sidang akhbar pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun Abdul Rahman berkata DOJ hanya menyebut MO1 dan tidak menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak terlibat atau menjadi sebahagian daripada siasatan.

Najib dikaitkan dengan dakwaan salah laku berkaitan 1MDB namun perdana menteri menafikan wujud sebarang kesalahan dalam pentadbiran agensi berkenaan.

Peguam negara juga membersihkan pegawai 1MDB daripada sebarang salah laku dan mengarahkan tiada siasatan lanjut dibuat terhadap syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Anis berkata pihaknya menyasarkan seramai 5,000 orang menyertai perhimpunan pada 27 Ogos ini.

Katanya, usaha menjelaskan kepada orang ramai berkenaan skandal 1MDB sedang giat dijalankan bagi menarik minat mereka untuk turun berhimpun.

“Jangkaan awal kami sasarkan target 5,000 orang, tapi kita optimis dan akan bekerja lebih keras untuk dapatkan lagi ramai rakyat Malaysia menyertainya.

“Kita perlukan kuantiti dan juga kualiti dari sudut penerangan. Kita bukan macam perhimpunan Baju Merah yang lebih kepada kuantiti.


"Kami mahu orang ramai datang atas faktor kesedaran,” katanya.

Saman DOJ itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa AS menyita aset bernilai kira-kira AS$1.5 bilion yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB.

Antara aset yang dimaksudkan ialah rumah mewah, lukisan, jet peribadi dan kutipan filem Hollywood The Wolf of Wall Street.

Selain jutawan kontroversi Jho Low turut dinamakan dalam dokumen itu ialah anak tiri Najib, Riza Aziz.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .