Kira dengan pantas! Hanya menggunakan kuasa minda, tanpa bantuan kalkulator atau pen, apakah jawapan kepada 7098 x 879?
Jaguh Matematik, Jourdan Toh dapat memberikan jawapan yang tepat dengan pantas!
Pelajar berkaca mata berusia 17 tahun ini adalah juara Pertandingan Matematik, Abakus dan Mental Arithmetic, Piala World City tahun lepas, sebuah pertandingan yang didominasi olehnya sejak berusia lapan tahun.
Pada Ahad, beliau sekali lagi mengambil bahagian dalam pertandingan edisi tahun ini bersama 700 ahli matematik muda terbaik dari lapan negara.
Mereka diberi 100 soalan matematik yang perlu diselesaikan dengan penaakulan minda atau menggunakan sempoa dalam masa di bawah tiga minit.
Bagi pelajar Sekolah Tinggi Han Chiang ini, semua jawapan akan terus berada di kepalanya, sepantas matanya membaca soalan-soalan yang diberikan.
Katanya, satu-satunya perkara yang membuatkan beliau lambat adalah masa yang diambil oleh tangannya untuk menulis jawapan.
"Apabila saya melihat soalan, saya sudah tahu jawapannya. Saya hanya perlu menulis dengan cepat.
"Bagi saya, pertandingan ini lebih kepada pertandingan menulis. Kawan-kawan saya biasanya akan berlumba dengan saya menggunakan kalkulator mereka.
"Mereka memanggil saya 'manusia kalkulator'," kata Toh.
Pada tahun 2007, Toh mendapat skor penuh dalam pertandingan Mental Arithmetic kebangsaan dan kemudiannya memenangi kejohanan di bawah kategorinya di Tokyo, Jepun.
Beliau turut mewakili Malaysia di San Francisco pada tahun 2008, di Taiwan pada tahun 2011 dan 2014, di Jepun pada tahun yang sama dan di Los Angeles pada tahun lalu.
Minatnya dalam bidang matematik bermula seawal usia tiga tahun apabila beliau menghadiri kelas tuisyen di Pulau Pinang di mana beliau telah diajar tentang pengiraan abakus. Selepas itu, beliau mula 'ketagih' dalam bidang ini.
"Setiap hari, saya akan menjawab soalan-soalan untuk dua hingga tiga jam. Saya boleh menghabiskan dakwat dua batang pen setiap hari untuk mencari jawapan," katanya.
Sejak kebelakangan ini, Toh berkata beliau menjadikan matematik sebagai 'pembunuh tekanan'.
"Saya menyelesaikan soalan dalam 30 keping kertas dalam masa satu jam. Saya menonton YouTube semasa melakukannya. Dan kemudian semua tekanan hilang," katanya.
Toh memegang jawatan ketua pengawas sekolah dan bermain skuasy dan bola keranjang. Beliau berharap untuk meneruskan kerjaya dalam bidang statistik gunaan atau sains aktuari.
Pertandingan Piala World City pada Ahad telah diadakan di Wisma MCA dan dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon.
No comments: