» » Kerajaan sengaja lantik orang luar ketuai SPRM supaya Najib Razak tak dikenakan tindakan berkaitan skandal 1MDB


Keputusan kerajaan melantik Datuk Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru sangat mengecewakan rakyat Malaysia, kata Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub.

Ini kerana katanya, rakyat mengharapkan pelantikan itu daripada kalangan anggota kanan badan itu sendiri dan bukan 'orang luar'.

"Keputusan ini merupakan suatu tindakan yang berunsur peribadi kerana telah menjadi rahsia umum sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa bahawa isu 1MDB yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak, sangat besar kesannya kepada integriti pentadbiran negara.

"Oleh itu saya merasakan pelantikan "orang luar" untuk menerajui SPRM adalah memang disengajakan.

"Ini demi memastikan Najib berada dalam keadaan selesa daripada semua tuduhan yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia hari ini," katanya pada kenyataan media.

Katanya, sebagai bekas Anggota Jawatankuasa Khas SPRM, beliau telah dijemput dalam satu majlis makan malam Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed baru-baru ini dan beberapa tokoh memberikan pandangan.

"Antara tokoh yang hadir termasuklah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Gabenor Bank Negara Tan Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan juga bekas Yang DiPertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

"Dalam ucapan malam itu jelas hampir semua tokoh-tokoh ini memberi pandangan bahawa jawatan ketua SPRM itu seharusnya diisi oleh anggota kanan suruhanjaya itu sendiri yang selama ini telah membuktikan komitmen bersungguh-sungguh ke arah membanteras rasuah khususnya dilakukan oleh mereka yang berprofil tinggi," katanya.

Menurutnya, tindakan melantik Dzulkifli menunjukkan sikap Najib tidak menghargai pasukan SPRM yang telah dibina oleh Abu Kasim dan terbukti banyak membuat perubahan dalam urus tadbirnya.

Dzulkifli sebelum ini menggantikan Abu Kassim yang bersara daripada jawatannya selepas 32 tahun berkhidmat dengan SPRM.

Selain Abu Kassimi, dua timbalannya iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali turut meninggalkan suruhanjaya itu.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .