» » Kadar anak muda Malaysia umur bawah 25 tahun bankrap naik mendadak ke 178%


Ketua Pemuda Umno Pasir Gudang, Azman Jaafar mendedahkan kadar anak muda bawah 25 tahun yang bankrap pada separuh pertama tahun ini sahaja meningkat 178 peratus berbanding tahun lalu.

Sambil menyimpulkan keadaan itu sebagai amat merunsingkan, beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, peluang pekerjaan yang terhad, rata-rata peminjam PTPTN dalam keadaan dilema akibat menanggung beban hutang sebelum mampu membina kerjaya.

"Kami mahu mahu semua pihak mencari jalan menangani hutang mahasiswa yang membebankan mereka sejurus tamat pengajian.

"Dalam masa yang sama, saya berharap agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) lebih fleksibel dalam keadaan ekonomi semasa dan tidak sewenang-wenangnya menyenarai hitamkan peminjam yang gagal melunaskan bayaran balik," ujar beliau, memetik laporan Umno Online.

Baru-baru ini, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, tabung itu tidak lagi mampu memberi pinjaman penuh kerana kadar pembayaran balik peminjam PTPTN yang rendah.

Sehingga Disember 2015, PTPTN hanya berjaya mengutip RM8 bilion berbanding sasaran RM15 bilion daripada RM26 bilion pinjaman yang diluluskan.

PTPTN juga hanya meluluskan 95 peratus daripada kos pengajian kepada penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan 85 peratus kepada penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Mengulas lanjut, Azman berkata, bayangkan anak muda yang baru keluar universiti setahun dua yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi diisytihar bankrap.

"Tambahan pula cabaran semasa seperti kenaikan kos sara hidup selain penawaran gaji yang rendah oleh kebanyakan majikan menyebabkan polemik itu menjadi semakin rumit dalam kalangan golongan muda lepasan universiti.

"Nasib dan masa depan mahasiswa yang diselubungi hutang ini perlu dibela serta diberi perhatian,” tambah beliau.

Disamping itu, pihaknya ingin mencadangkan PTPTN menubuhkan unit yang dinamakan 'Zamalah' iaitu tabung khas bagi membantu pelajar miskin atau dari kaum keluarga yang susah tetapi sememangnya layak melanjutkan pelajaran di universiti, jelasnya lagi.

"Kita faham situasi PTPTN tapi kita juga mahukan agar PTPTN mengenal pasti kaedah terbaik dalam mendapat kembali sejumlah wang yang dipinjam oleh pelajar tanpa membebankan peminjam.

"Jangan nampak sangat PTPTN ini macam agensi pemungut hutang dan kita kena berhemah di dalam melaksanakan masalah pungutan hutang pinjaman dari peminjam PTPTN," katanya lagi.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .