» » Johari dakwa penyelewengan Berbilion Ringgit dalam skandal 1MDB bukan penyebab ekonomi M'sia parah


Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani menjelaskan kemerosotan ekonomi yang dialami negara disebabkan kelembapan ekonomi negara kuasa besar dunia yang mempengaruhi iklim ekonomi dunia.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat mengubah persepsi yang mendakwa kemerosotan ekonomi yang melanda negara adalah disebabkan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Katanya Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan berdagang dengan semua negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Thailand, negara Timur Tengah dan Eropah.

"Bila ekonomi dunia meningkat, maka ekonomi negara kita juga meningkat, begitu juga bila ekonomi dunia huru-hara, ekonomi negara kita juga akan terjejas.

"Mengambil contoh unjuran ekonomi dibuat Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia di mana pada tahun 2017, ekonomi dunia dijangka menurun daripada 3.4 peratus kepada 3.1 atau 3 peratus. Oleh sebab kita berdagang dengan satu dunia, ia secara automatik akan menjejaskan ekonomi kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Hulu Terengganu di sini Jumaat.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Johari yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno dalam masa sama meminta rakyat tidak mempolitikkan isu 1MDB kerana bimbang ia akan menakutkan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini.

"Hal berniaga tidak boleh bercampur dengan politik kerana nanti ia akan jadi kelam kabut. 1MDB adalah satu syarikat yang ditubuhkan untuk pelaburan jangka masa panjang di antara 10 hingga 20 tahun.

"Tapi bila ia mula bercampur dengan politik, ia akan mengganggu urusan syarikat dan ditambah pula dengan pengurusan yang tidak cekap, syarikat mana yang akan bertahan?.

"Jika betul ada berlaku penyelewengan dan ada pihak yang bersalah (dalam 1MDB), pihak yang terlibat akan mengambil tindakan. Rakyat tidak perlu susah hati dan pening kepala, ini hal orang berniaga," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .