Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa para menteri kabinet yang bermesyuarat esok untuk menjelmakan bayangan 'Malaysian Official 1' yang dinamakan dalam aduan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dakwaan salah guna dana 1MDB.
Anggota parlimen Gelang Patah itu berkata, kabinet perlu, sama ada mengisytiharkan 'Malaysian Official 1' bukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau mengakui beliaulah individu yang dinyatakan dalam dokumen DOJ.
"Dan menyatakan rancangan kerajaan bagi membuktikan perdana menteri tidak terlibat dalam apa jua cara berkaitan penyelewengan berbilion dolar 1MDB, pengubahan wang haram dan rasuah yang menjadi subjek aduan DOJ.
"Apa juga yang kerajaan akan lakukan untuk menebus maruah Malaysia dan reputasi antarabangsa negara ini," kata Lim dalam satu kenyataan media.
Merujuk kepada soal siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berhubung isu tersebut, kata Lim, episod itu membangkitkan dua persoalan penting berkaitan kepentingan awam.
"Pertama, sama ada soalan 'siapakahMalaysian Official 1?' yang disebut sebanyak 36 kali dalam laporan aduan setebal 136 halaman, 513 perenggan itu sebagai antara individu utama yang terbabit dalam penyelewengan berjuta-juta ringgit dana 1MDB, pengubahan wang haram dan rasuah merupakan satu jenayah.
"Kedua, sama ada spekulasi dari pelbagai identifikasi diberikan dalam aduan DOJ ke atas 'Malaysian Official 1' adalah Najib, walaupun tidak disebutkan nama adalah satu jenayah kejam di Malaysia," katanya.
No comments: