» » FBI sedang cari Yang DiPertuan Agung untuk dtangkap berkaitan skandal 1MDB?


Minggu ini gua jadi kelam kabut. Gua tidak tahu apa yang wajib gua lakukan. Hendak ketawa gua rasa bersalah. 

Hendak menangis air mata enggan keluar. Atau gua terus jadi marah hingga tercabut uban. Tapi gua risau juga jika kelihatan botak.

Keadaan gua bercelaru seperti ini timbul kerana persoalan siapa dia yang dipanggil Malaysian Official 1 (MO1) oleh peguam negara Amerika belum selesai. MO1 ini terus menjadi buah mulut yang berpanjangan. Gua sendiri tercari-cari dan tertanya-tanya.

Sidang akhbar Puan Loretta Lynch berlangsung pada 21 Julai yang lalu telah lebih satu bulan.

Tapi siapakah yang dimaksudkan oleh peguam negara Amerika ini sebagai Malaysian Official 1 masih menjadi tanda tanya di Malaysia.

Rakyat satu Malaysia hanya berhenti bertanya siapa MO1 ini ketika ada pertarungan badminton di Rio. Sebaik sahaja Chong Wei selesai bertarung dan meletakan raket di tepi dinding, satu Malaysia terus heboh bising.

Heboh memberi pendapat dan teori siapa dia MO1 itu?

Sekarang sukan Olimpik Rio telah tamat. Sebaik sahaja Olimpik selesai Malaysia menjadi heboh kembali.

Seheboh murai mencari bini. Persoalan siapa MO1 meledak kembali.

Paling terbaru ialah kenyataan dari Langkawi. Ini bukan kenyataan dari cucu cicit Mahsuri tapi dari Tuan Haji Nawawi yang mengakui dirinya sebagai Yang Berhormat.

Hormat macam mana itu gua sendiri kurang arif.

Mengikut laporan portal media yang amat cepat lagi pantas - Tuan Haji YB ini telah menulis dalam Facebook miliknya.

Mengikut tuan empunya surah Tuan Haji YB ini telah menganalisa Perlembagaan Persekutuan. Tuan Haji YB ini berpendapat mengikut kajian yang dilakukan - terang dan jelas - MO1 ini ialah Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong! Ya ampooon. Sultan Kedah yang kini Yang di-Pertuan Agong kita semua yang dimaksudkan oleh YB Langkawi ini.

Tuanku inilah mengikut kajian Tuan Haji YB yang sebenarnya Malaysian Official 1, bukan Official 2 dan bukan Official 3.

Berita ini meledak. Berita ini membawa gempar.

Berita ini amat amat menakutkan. Apa maknanya kenyataan dari Tuan Haji Nawawi ini?

Bayangkan jika sahih Yang di-Pertuan Agong menjadi MO1 - apa akan terjadi.

Maknanya FBI akan masuk ke Istana Negara. Maknanya FBI akan menangkap raja kita untuk dibawa ke Amerika.

Maknanya - di mana muka kita sebagai rakyat hendak kita sorokkan. Maknanya PERKASA dan Jaringan Melayu akan melaungkan semboyan perang menentang Amerika.

Maknanya Jamal Ikan Bakar akan dapat bajet untuk berdemo depan kedutaan Amerika. Maknanya Ali Tinju akan bergaduh dengan Jamal untuk merebut dana Baju Merah.

Maknanya Tajuddin Rahman dari Pasir Salak akan bersilat sekali lagi di Jalan Petaling kali ini memakai cawat merah.

Penyokong Ali Tinju akan menghantuk-hantuk kepala sekali lagi di hadapan Sogo. Kali ini mungkin menggunakan buah kelapa.

Semua NGO Melayu siap siaga untuk melawan Amerika. Bayangkan - semua ini muncul hasil dari kenyatan Tuan Haji YB Langkawi.

Apakah kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan Amerika? Soalan macam ini menjadikan gua terus kelam kabut.

Dalam keadaan ini gua menjadi marah. Gua marah kepada Puan Loretta Lynch.

Kenapa tidak bercakap dengan terus terang. Kenapa gunakan Malaysian Official 1? Kenapa tidak tuliskan siapa nama Malaysian Official 1 ini.

Gua tidak tahu apa sebab musabab pihak Department of Justice America (DOJ) tidak mahu menyebut si polan bin si polan sebagai Malaysian Official 1. Adakah seekor gajah sedang berselindung di belakang Puan Loretta Lynch?

Atau adakah ini strategi Encik Andrew MacCabe, timbalan pengarah FBI untuk memerangkap Riza Aziz a.k.a anak Najib dan Jho Low a.k.a cina tembam. Wallahualam.

Ketika rasa marah kepada DOJ membuak, gua juga merasa kagum dengan Tuan Haji YB. Di Malaysia ini ada 30 juta penduduk.

Tetapi tidak seorang pun seperti Tuan Haji YB ini. Beliau menyelesaikan persoalan dengan tuntas lagi ilmiah. Bukan dengan pukul curi.

Bukan dengan agak-agak. Beliau membuat kajian ilmiah dan membuktikan bahawa Agong kita ialah Malaysian Official 1. Syabas.

Bayangkan - kenyataan dari FB ini telah menjemput pelbagai jawapan. Ramai yang mengatakan bahawa Tuan Haji YB ini bangang lagi bodoh.

Ramai yang mengutuk dan menghina Tuan Haji YB ini. Para royalis dan feudalis semuanya marah kerana nama Yang di-Pertuan Agong dipalitkan dengan kes rompakan 2.6 bilion ringgit.

Paling menakutkan ialah soalan yang mucul dari mulut Mahathir. Bekas perdana menteri ini telah bertanya sambil menyoal - jika Agong ini Malaysian Official 1 apakah Riza Aziz itu anak tiri baginda.

Ya Ampooon. Meremang bulu tengok gua apabila membaca soalan dari Tun M ini.

Badan gua menggigil takut kerana apa yang sedang berlegar dalam kepala gua ini amat-amat menakutkan gua sendiri.

Gua tergambar katil besi dan anak gajah. Yang lainnya demi Zeus gua tak berani nak tulis.

Ya Ampooon - dijauhi malaikat empat puluh empat. Riza Aziz bukan anak tiri Agong.

Tak mungkin. Mustahil.

Tup tup Istana membuat kenyataan meminta jangan dibabitkan Istana dengan kes rompakan yang telah dijalankan oleh anak Najib dan Cina tembam.

Maaf. Istana tidak menggunakan istilah atau menyebut Cina tembam. Ini bahasa gua kerana gua merasa amat marah apabila Agong dipalitkan dengan kes rompakan.

Ampon Tuanku.

Kenyataan dari Istana ini tidak diambil pot oleh Tuan Haji YB. Yang Berhormat dari Langkawai ini berkata - apa perlu minta maaf kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Betul tepat. Kenyataan YB ini muncul dari kajian bukan ciplakan seperti lagu Terang Bulan. Memang hebat Tuan Haji YB ini.

Gua amat yakin dalam urat lidah Tuan Haji ini ada mengalir darah Pahlawan Bugis. Kerana itu beliau cekap bersilat lidah. Ampon Tuanku.

Pusing punya putar kita kembali persolaan hakiki kurun ini - siapa dia MO1 ini.

Kalau di Greece empat ribu tahun dahulu - apabila warga kota Athens ingin tahu sesuatu mereka akan pergi bertanya kepada Delphi.

Tempat bersemayam dewa dewi ini terletak diatas bukit tepi kota Athens. Delphi yang dianggap pusat dunia ini akan memberi jawapan kepada apa saja soalan.

Manakala warga Mesir di zaman Firaun jika dalam kesusahan dan ingin bertanya sesuatu mereka akan pergi berjumpa Abu al-Hual atau Sphinx di Giza.

Mengikut surah yang disurahkan semua persoalan dapat dijawab oleh Abu al-Haul ini.

Bani Melayu juga ada tradisi seperti ini yang diturun temurunkan dari Orang Asal suku Biduanda. Gua difahamkan jika bani Melayu ingin mengetahui sesuatu maka perlu ditilik melalui air dalam tempurung.

Air ini wajib datang dari tujuh perigi. Jampi serapah wajib dibacakan untuk memanggil segala dewa dan dewi seru sekelian alam.

Jika niat suci maka akan muncul bayangan jawapan itu dalam tempurung yang berisi air.

Memang gua sudah bersedia untuk menilik air dalam tempurung. Gua ingin menyelesaikan dengan tuntas - siapakah dia MO1 ini.

Untuk melunaskan ini gua telah dapatkan tempurung kelapa. Gua telah dapatkan manek urai. Gua telah dapat kemenyan batu.

Gua telah mengumpul tujuh batang serai gajah. Malah dua ekor ayam dara hitam berkaki hitam juga ada dalam simpanan gua.

Semua barang ini - walau pun pelik bunyinya - amat diperlukan untuk membuat kerja ‘menurun dan menilik’. Ini syarat turun temurun ajaran tok batin Gunung Sibuntang.

Mencari bomoh dan pawang bukan satu masalah dalam kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur ini. Memang ramai pawang dan bomoh di Kuala Lumpur.

Pergi sahaja ke tempat jual beli saham Toto Vincent Tan kita pasti akan bertemu dengan tok bomoh yang membuka pejabatnya di tepi kedai milik Vincent Tan. Amin.

Yang paling susah untuk gua mentuntaskan malam menilik MO1 ini ialah mencari air dari tujuh buah perigi. Gua gagal. Hingga ke hari ini gua baru bertemu dengan dua perigi.

Sayang sekali - baru gua sedar dan faham kenapa semua ubat dan jampi serapah tok bomoh hari ini sudah tidak mujarab lagi - tidak boleh dipakai.

Tok bomoh hari ini menggunakan air paip. Jampi dan serapah telah bercampur dengan klorin.

Kisah punya kisah kita masih belum dapat gua menyelesaikan masalah induk. Persolaan hakiki kurun ini masih belum ada jawapan.

Tun Mahathir telah berkata bahawa hanya orang bangang sahaja yang tidak tahu siapa dia Malaysian Official 1 ini.

Bila gua terbaca kenyataan Tun ini berdesing juga telinga gua kerana Tun pun sama seperti Puan Loretta Lynch tidak menyebut nama tepat si malaon ini.

YB Rahman Dahlan dari Kota Belud pun sama macam Tun Mahathir. YB Kota Belud ini telah berkata bahawa : siapa dia Malaysian Official 1 amat jelas.

Dalam jelas-jelas ini tidak juga diberi nama siapa sebenarnya si malaon ini.

Tapi gua rasa semua ini akan selesai dengan tuntas pada hari Sabtu 27 haribulan Ogos ini. Gua diberitahu bahawa satu gerakan anak muda akan mengadakan perhimpunan besar.

Diuar-uarkan 10,000 anak muda, pelajar dan mahasiswa akan turun ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang di hari tersebut.

Tujuan perhimpuan ini ialah untuk menangkap Malaysian Offcial 1. Aduh ini hebat.

Untuk saat ini gua tidak berani menuduh secara melulu. Gua takut dianggap tulah kepada sultan.

Gua tidak mahu derhaka terhadap Agong. Gua gentar akan didakwa sekali lagi di bawah Akta Hasutan 1948 kalau gua katakan bahawa Malaysian Official 1 ialah…..

Tapi gua akan hadir pada petang sabtu 27 haribulan ini. Gua nak lihat muka Malaysian Offcial 1 yang akan ditangkap oleh mahasiswa.

Kalau nak tahu siapa dia Najib opps… silap, siapa dia Malaysian Official 1 mari bersama ke Dataran Merdeka.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .