Adun Salor Datuk Husam Musa hari ini secara sinis mendoakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar diberi umur yang panjang dan dapat mentadbir negara 'sehingga 100 tahun akan datang'.
"Apa salahnya kita mengharapkan beliau panjang umur. Terus mentadbir Malaysia untuk seratus tahun akan datang.
"Itulah caranya untuk menjadikan Umno dan Malaysia terus kukuh - mengikut ukuran Najib," kata Husam dalam cacatan di Facebooknya.
Husam mendakwa sebelum ini terdapat laporan mengenai pembelian hormon antipenuaan yang tercanggih dan mahal menggunakan dana 1MDB.
"Saya seronok jika beliau hidup lama untuk membolehkan Najib melunaskan hutang-hutang negara yang telah dilakukan sebelum ini bila tiba tempoh matang hutang-hutang itu, termasuk hutang-hutang 1MDB," katanya.
Tambahnya, hutang yang paling hampir matang mengikut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah pada tahun 2022 berjumlah RM19 bilion, termasuk kadar faedah.
"Syabas. Pada waktu itu, umur Najib adalah 69 tahun. Masih muda. Pada umur beliau 70 tahun iaitu setahun kemudian, beliau kena menguruskan pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM 15.7 bilion lagi," katanya.
Bon pertama dikeluarkan 1MDB berjumlah RM5 bilion pula akan matang pada tahun 2039, kata Husam.
Memetik laporan PAC, Husam berkata negara perlu membayar sebanyak RM13.63 bilion iaitu RM5 bilion untuk bayaran pokok dan RM8.625 bilion lagi untuk bayaran keuntungan pada tahun 2039.
"Padahal, jumlah bersih yang diperolehi oleh 1MDB dari bon ini hanya RM 4.3 bilion kerana pelbagai yuran yang dikenakan adalah tertinggi. Ini kelebihan cara Najib. Jangan bimbang, 2039 adalah dua tahun selepas PRU18 dengan andaian setiap lima tahun PRU akan diadakan," katanya.
Selain itu, katanya, negara juga perlu menjelaskan tanggungan besar yang lain.
"Mengikut Laporan PAC, 1MDB terhutang kepada rakan kongsinya IPIC sebanyak AS$1 bilion atau RM4 bilion. Namun kini, IPIC mendakwa Malaysia terhutang kepadanya sebanyak AS$6.5 bilion atau RM26 bilion!
"Ini kerana bayaran yang dibuat oleh 1MDB tersalah masuk ke dalam akaun syarikat yang namanya serupa dengan anak syarikat IPIC tetapi entitinya berbeza! Aabar dua serupa. Hebat, hanya Malaysia Boleh," katanya.
No comments: