» » Cabar Khairul debat kononnya ada konspirasi yang mahu guling Najib Razak


Pemuda PKR mencabar Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun untuk berdebat, berikutan kenyataannya secara tegas mengulangi bahawa wujud satu konspirasi tertinggi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin dalam satu kenyataan hari ini berkata, cabaran itu dibuat berdasarkan kenyataan terkini Khairul Azwan, melalui ucapannya pada mesyuarat Umno bahagian Teluk Kemang Sabtu lalu.

“Pemuda PKR bersedia untuk menaja tempat dan menjemput media dalam dan luar negara untuk liputan debat ini dan Saudara Khairul Azwan hanya perlu menamakan tempat, tarikh dan masa untuk acara ini dianjurkan.

“Saya selaku Timbalan Ketua Pemuda PKR juga bersedia untuk tampil sepentas bagi berdebat dengan beliau mengenai konspirasi ini,” kata Afif yang juga adalah ADUN Seberang Jaya.

Katanya, tajuk tentatif debat itu adalah "Saman DOJ: Satu Konspirasi Jatuhkan PM?"

Ini merujuk kepada saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Keeadilan (DOJ) Amerika Syarikat, baru-baru ini untuk mendapatkan hampir AS$1 bilion aset yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara bermasalah 1MDB.

Najib dan pemimpin Umno lain sebelum ini memberi amaran bahawa saman ahkamah DOJ mungkin sebahagian daripada konspirasi antarabangsa untuk menjejaskan kestabilan kerajaan BN.

Dalam laporan polis yang dibuat bulan lalu, Khairul Azwan menuduh bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkomplot untuk menjatuhkan Najib.

Polis menutup kes itu setelah mengesahkan bahawa laporan itu berdasarkan khabar angin, tetapi Khairul Azwan berulang-kali bertegas bahawa laporan polisnya itu telah berjaya menggagalkan plot berkenaan.

Sabtu lalu, Khairul Azwan sekali lagi mempertahankan laporan polis itu dan mendakwa bahawa ia berjaya menggagalkan rancangan Mahathir yang kononnya mahu mengadakan sidang akhbar untuk media antarabangsa di Jakarta pada 26 Julai, dengan niat untuk menyerang Najib.

Mahathir semalam menafikan dakwaan Khairul Azwan itu. Sebaliknya beliau berkata, tiga pegawai tinggi kerajaan - Zeti, Gani dan Abu Kassim - yang dituduh bersubahat untuk menggulingkan Najib telah "dikhianati."

Bagaimanapun Dr Mahathir enggan menjelaskan dengan lebih lanjut sama ada dalang dimaksudkannya itu adalah salah seorang daripada tiga tokoh terbabit.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .