» » Apa bukti maklumat 3 Tan Sri palsu jika audit 1MDB dirahsiakan dan diletak dibawah OSA ?


Kebelakangan ini Malaysia tidak sunyi dari berita mengemparkan.

Terakhir adalah berita nasib tiga bekas pegawai kanan tertinggi kerajaan yang bersara atau "dibersarakan".

Mereka adalah bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini diakui kerajaan mempunyai rekod khidmat cemerlang.

Tiba-tiba Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis menuduh mereka memberi laporan tertentu mengenai 1MDB kepada kerajaan Amerika.

Ini adalah tuduhan yang amat serius dan mengemparkan.

Anehnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengambil masa beberapa hari untuk menjauhkan kerajaan dan Umno dari tuduhan yang amat berat tersebut.

Adakah kerana reaksi marah ramai rakyat Malaysia atas tuduhan tanpa bukti itu setelah mereka dinasihatkan menafikan yang laporan tersebut bukan dari arahan rasmi?

Gani sebagai peguam negara telah "dipencenkan" dengan mengejut atas alasan kononnya beliau kurang sihat.

Beliau ada mengeluarkan kenyataan selepas itu yang kesihatan baik seperti biasa. Banyak berita tersebar yang beliau dalam proses menyiapkan laporan lengkap yang membabitkan pihak tertinggi kerajaan dalam isu kontroversi 1MDB apabila beliau dibersararakan secara mengejut!

Zeti pula telah dilaporkan pernah mengeluarkan beberapa surat sebagai Gabenor Bank Negara kepada 1MDB kerana tidak mengikut syarat kelulusan bank pusat dan kesalahan kesalahan berkaitan.

Beliau diiktiraf olih bank-bank negara antarabangsa sebagai antara gabenor terbaik dan telus.

Abu Kassim pula terkenal sebagai ketua SPRM yang tegas dan berintegriti.

Pegawai- pegawai kanannya yang terlibat dalam siasatan 1MDB terlebih awal dahulu telah ditukar atau “direhatkan".

Semasa majlis perpisahannya dan dua lagi pegawai SPRM baru baru ini, timbalannya, Datuk Mohd Shukri Abdul telah menyatakan dalam ucapannya - "Kepada ahli politik, menteri dan wakil rakyat, ingatlah kamu dipilih kerana rakyat, berkhidmatlah dengan keikhlasan dan itegriti."

Ucapan tersebut telah disambut oleh linangan air mata pegawai-pegawai SPRM yang hadir.

Kepada ahli politik dan menteri manakah ucapan tersebut ditujukan?

Naib Ketua Pemuda Umno menyatakan ketiga-tiga pegawai kanan yang dituduhnya itu menyerahkan laporan 1MDB dan laporan palsu kepada kerajaan Amerika.

Ini juga adalah tuduhan yang amat serius. Lagi banyak tanda tanya yang timbul.

Persoalan saya sebagai Ahli Parlimen, dan juga rakyat biasa, jikalau laporan yang diserahkan kepada pihak Amerika itu didakwa laporan palsu, yang manakah laporan yang asal dan asli?

Kedua-duanya hendaklah dipamerkan dan dibanding untuk memastikan yg mana yang tulen dan yang mana palsu.

Masalahnya ialah laporan asal perlu dibaca bersama dengan laporan Ketua Audit Negara yang dirahsiakan dibawah OSA - Akta Rahsia Rasmi!

Kami ahli Parlimen pun tidak dibenarkan menglihat laporan Ketua Audit Negara.

Bagaimanakah Timbalan Ketua Pemuda Umno boleh membuktikan yang mana betul dan yang mana tidak?

Oleh itu kami menggesa beliau mendesak Najib mengarahkan supaya laporan Ketua Audit Negara dibebaskan dari sekatan larangan OSA.

Dengan cara itu sahajalah tuduhan terhadap ke tiga-tiga Tan Sri tersebut boleh dibuktikan. Kami percaya dengan bantuan pengaruh Khairi Jamaludin, beliau akan boleh meyakinkan Najib.

Janganlah ahli-ahli Umno di bawah Najib hanya membuat tuduhan tanpa memberi bukti untuk menjustifikasikan tuduhan tersebut.

Setelah pegawai-pegawai kerajaan dipergunakan semasa mereka berkhidmat, sebaik sahaja mereka "pencen", mereka dikambing-hitamkan tanpa ruang untuk membela diri.

Adakah ini cara mengugut ketiga-tiga Tan Sri ini kerana mereka mengetahui segala galanya dalam isu skandal 1MDB?

Tidak cukupkah lagi segala rang undang undang saperti POCA, SOSMA, POTA, Akta Hasutan dan terakhir Majlis Keselamatan Negara - MKN, yang mula berkuatkuasa hari ini - 1 Ogos 2016?

Apa lagi yang akan digunakan untuk memaksa rakyat menerima segala keruntuhan nilai dan akhlak yang menimpa Malaysia hari ini?

Kalau titah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang meminta Najib mengkaji situasi 1MDB dan juga MKN tidak diendahkan, apalah harapan rakyat biasa seperti kami yang mengemis keadilan.

Hanya kepada Allah kami mengadu dan beserah.


__________________________________________________________

Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu .





About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .