» » » Wanita bersekedudukan mati dipukul teman lelaki kerana dituduh curang


Padah kerana cemburu, seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai bertindak kejam memukul pasangannya sehingga menyebabkan kematian di kediamannya di sebuah flat di Taman Jinjang di sini pagi tadi.

Mangsa yang bekerja sebagai promoter di sebuah pub, berusia 36 tahun, mengalami kecederaan dan lebam di bahagian mata dan lengan itu meninggal dunia selepas dipukul oleh pasangannya menggunakan sebatang mop di ruang tamu rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata pihaknya menahan seorang juruteknik lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya susulan menerima aduan orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 6.35 pagi.

"Hasil siasatan awal ke atas lelaki berkenaan, suspek mengaku memukul pasangannya sehingga mati kerana cemburu.

"Suspek mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Mereka dikatakan telah bergaduh semenjak Khamis lalu kerana mangsa enggan balik rumah dan menjaga anak mereka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati pasangan itu belum berkahwin dan dipercayai bersekedudukan selama lima tahun serta mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun.

"Kira-kira 9 malam tadi, suspek dikatakan menghantar anaknya ke rumah bapa mangsa dengan meminta menjaga anaknya itu.

Katanya, suspek ditahan reman selama enam hari sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat petang ini manakala suspek yang cedera di pergelangan tangannya dihantar ke hospital sama untuk rawatan, katanya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .