» » » Siapa sebenarnya bertanggungjawab menjadikan laporan Audit Negara mengenai 1MDB diletakkan dibawah Akta Rahsia Rasmi ?


Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengajukan soalan kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab menjadikan laporan Audit Negara mengenai 1MDB sebagai rahsia.

Pua bertanya demikian kerana menurutnya, kedua-dua ketua audit negara dan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhasrat laporan itu diumumkan selepas dibincangkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Semalam Puad berkata bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin silap untuk menyalahkan Najib berhubung klasifikasi laporan itu di bawah OSA, sedangkan ia adalah atas permintaan ketua audit negara sendiri.

"Saya ketawa kuat apabila saya membaca komen yang dibuat oleh Puad.

"Pertamanya, ketua audit negara hanya secara khusus meminta laporannya diklasifikasikan ketika ia sedang dibincangkan oleh PAC.

"Beliau memberitahu PAC bahawa terpulang kepada PAC untuk menyiarkan laporan ketua audit negara setelah siap laporan PAC sendiri," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin sendiri memberitahu media pada 7 Mac, bahawa laporan audit persekutuan mengenai 1MDB tidak akan lagi diklasifikasikan sebagai rahsia negara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) apabila PAC membentangkan hasil penemuannya di Parlimen."

"Oleh itu jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kabinetnya tidak boleh dipersalahkan kerana enggan mengklasifikasikan semula laporan ketua audit negara itu, jadi siapa?" tanya Pua.

Beliau berkata laporan PAC dihasratkan untuk dibentangkan bersama-sama dengan laporan audit secara keseluruhan, dan oleh itu membuat banyak rujukan kepada maklumat di dalam dokumen berkenaan.

Oleh itu, kata Pua, kenyataan berasingan menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa tidak ada keperluan untuk laporan ketua audit negara diakses oleh orang awam sedangkan laporan PAC telah pun dibentangkan, adalah "tidak masuk akal".

"Prosiding PAC bergantung hampir sepenuhnya kepada penemuan laporan ketua audit negara untuk perbincangannya, untuk membuat kesimpulannya dan cadangannya," katanya.

Malah, tambah Pua, apa yang anggota PAC faham ialah laporan ketua audit negara akan dibentangkan bersama dengan laporan PAC untuk memberikan gambaran yang lengkap dengan fakta dan angka yang terperinci kepada Parlimen.

Oleh itu, tegasnya laporan PAC itu sendiri membuat rujukan yang luas kepada laporan penemuan ketua audit negara, tanpa memetik butirannya kerana anggota jawatankuasa itu menjangkakan laporan ketua audit negara itu akan diterbitkan bersama-sama dengan laporan PAC.

Malah, katanya lagi, anggota PAC dari pihak kerajaan dan pembangkang bersetuju sepenuhnya dengan laporan ketua audit negara dan tidak pernah pada bila-bila masa, seperti yang dicatatkan dalam hansard PAC, tidak bersetuju atau menolak penemuan laporan itu.

Oleh itu, tegasnya, semua penemuan dalam laporan ketua audit negara mesti dianggap sebagai fakta dan diuruskan dengan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

Mengulas dakwaan Puad bahawa "sedikit" laporan audit yang didedahkan telah membawa kepada spekulasi, Pua berkata, ia hanya mengesahkan keperluan untuk mendedahkan laporan penuh itu.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .