Ahli-ahli ekonomi tempatan dikatakan terkejut dan terpinga-pinga dengan langkah Bank Negara menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) beberapa hari yang lalu, lapor Bloomberg Online.
Tidak seperti bekas bosnya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang sering memberikan isyarat sebelum melaksanakan sebarang dasar kewangan, Gabenor Bank Negara yang baru, Datuk Muhammad Ibrahim pula bersikap sebaliknya.
"Salah seorang daripada 18 penganalisis yang ditinjau Bloomberg berkata ini menandakan Bank Negara tidak lagi mengikuti jejak dan teladan yang ditinggalkan oleh Zeti," menurut laporan oleh Bloomberg Online itu.
Muhammad mengambil alih kerusi nombor satu bank pusat berkenaan pada 1 Mei yang lalu.
Semalam, Muhammad memberitahu Bernama bahawa keputusan menurunkan OPR merupakan langkah awal untuk memastikan ekonomi terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil.
"Ia bukan kerana kami menjangka pertumbuhan akan lemah pada separuh kedua. Kami menjangka ia lebih kukuh dan pertumbuhan bagi keseluruhan tahun ini dijangka kekal antara 4.0 dan 4.5 peratus.
"Kini, apa yang kami ingin lakukan adalah memastikan ia berlaku. Pada dasarnya, ia adalah langkah awal," kata Muhammad dalam wawancara tersebut.
BNM, dalam langkah yang tidak dijangka pada Rabu yang lalu, menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus seperti yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) selama dua hari.
Kali terakhir kadar diturunkan adalah pada 2009 dan pelarasan terakhir dibuat pada Julai 2014.
Mengulas lanjut, Muhammad membuat keputusan untuk menurunkan OPR berkenaan dibuat pada mesyuarat dasar kewangan kali kedua sejak mengambil alih daripada Zeti.
"Ahli-ahli ekonomi jelas tidak bersedia dengan masa ketika penurunan OPR itu dilaksanakan kerana bank pusat selalunya untuk memberi isyarat sebelum melaraskan kadar faedah seperti masa yang lalu," katanya.
Michael Wan yang merupakan ahli ekonomi di Credit Suisse Group AG menjelaskan, masa ketika OPR diturunkan telah mengejutkan pihaknya dan juga pasaran.
Laporan itu turut menyatakan Zeti, 68, terbukti menjadi salah seorang daripada pembuat dasar yang paling 'kurang mengejutkan'.
Zeti mengubah kadar faedah hanya sekali dalam masa empat tahun dalam tindakan yang boleh diramal oleh kebanyakan ahli-ahli ekonomi.
Secara perbandingan yang ketara, bank pusat Indonesia membuat lebih 10 pelarasan kadar faedah yang tidak dijangka dalam tempoh yang sama.
Sementara itu, penganalisis JPMorgan Chase & Co, Ong Sin Beng pula menambah, penurunan kadar tersebut pada minggu ini ketara kerana tiada amaran awal atau tanda-tanda perubahan dasar dalam kenyataan dasar monetari yang dikeluarkan pada bulan Mei.
"Teladan ini adalah untuk Bank Negara Malaysia memberi isyarat lebih jelas dalam sebarang perubahan yang akan berlaku," kata Ong.
Pakar ekonomi Citigroup Inc di Singapura, Kit Wei Zheng pula berkata, penurunan OPR yang mengejutkan minggu ini mengetengahkan bahaya akibat terlalu bergantung kepada panduan hadapan jelas dan mungkin membayangkan reaksi dasar yang lebih agresif di bawah Muhammad.
No comments: