» » » Apandi Ali dakwa Pinda Akta 166 bukan untuk kawal Majlis Peguam di Malaysia


Kerajaan memutuskan untuk melantik dua wakilnya dalam Majlis Peguam bagi memastikan hubungan baik antara anggotanya dan kerajaan, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Perkara itu akan dilakukan menerusi pindaan terhadap Akta Profesion Undang-undang 1976 (Akta 166).

Beliau menolak dakwaan pakar undang-undang, termasuk Majlis Peguam bahawa pindaan itu bagi mengawal badan tersebut yang dilihat sebagai pengkritik utama kerajaan.

"Perlu diingati, salah satu tujuan Bar Malaysia telah digariskan dalam Seksyen 42 (1) (I) akta 166 iaitu untuk memajukan hubungan baik dan pergaulan sosial di kalangan ahli dan antara ahli dengan orang lain yang terlibat dalam pentadbiran undang-undang dan keadilan di Malaysia," katanya dalam satu artikel yang ditulis beliau diBerita Harian hari ini.

Bagaimanapun katanya, hubungan baik di kalangan anggota Majlis Peguam dengan kerajaan tidak terjalin.

"Bagi memastikan hubungan baik antara ahli dengan kerajaan sentiasa terjalin, kerajaan juga memutuskan untuk memberi kuasa kepada menteri undang-undang melantik dua ahli di dalam Majlis Peguam bagi mewakili kerajaan.

"Pindaan ini bukan sama sekali bertujuan untuk menyekat kebebasan Majlis Peguam atau untuk mengelak Majlis Peguam daripada terus mengkritik kerajaan sebagaimana disangkakan, tetapi ia bertujuan untuk menjadikan Majlis Peguam lebih telus dan demokratik berbanding sekarang," katanya.

Kedua-dua wakil kerajaan berkenaan bagaimanapun tidak dibenarkan bertanding bagi merebut jawatan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari.

"Sebagai peguam negara, saya amat bersetuju dengan keputusan ini. Setelah tujuh tahun memegang jawatan pegawai dalam Majlis Peguam, saya cukup faham selok-belok ia beroperasi.

"Kerajaan tidak berniat untuk mengawal perjalanan Majlis Peguam, malah kerajaan kini jauh lebih terbuka kepada kritikan," katanya.

Presiden Majlis Peguam Malaysia Steven Thiru sebelum ini memberi amaran mengenai ancaman terhadap kebebasan peguam apabila Putrajaya merancang perubahan drastik kepada akta itu.

Cadangan pindaan lain termasuk kuorum yang diperlukan untuk mesyuarat agung dinaikkan daripada 500 kepada 4000 anggota atau 25 peratus daripada 17,000 anggota Bar Malaysia, atau yang mana lebih rendah.

Apandi juga berhujah bahawa komposisi Majlis Peguam tidak mewakili seluruh anggota Bar Malaysia.

"Saya tidak hairan bila dimaklumkan, ada urusan Majlis Peguam dilakukan secara tersembunyi, ada ahli Bar Malaysia yang tidak didedahkan dengan perkara tertentu atau bila ada gag order diberikan kepada ahli majlis peguam," katanya.

Katanya, paling menjadi isu adalah peruntukan Seksyen 50 (1) Akta 166 yang menyebut bahawa pemilihan tahunan bagi 12 anggota Majlis Peguam hendaklah dibuat melalui undi pos.

"Malang sekali bagi sebuah badan yang menentang penggunaan undi pos dalam sistem pilihan raya negara sebagaimana diperjuangkan BERSIH masih menggunakan undi pos dalam pemilihannya sendiri.

Katanya, ada anggota Majlis Peguam membangkitkan soal ketidaktelusan undi pos dalam pemilihannya termasuk mengenai bagaimana jawatankuasa pemilihnya tidak dipantau oleh mana-mana badan bebas lain.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan memutuskan untuk menghapuskan undi pos dalam pemilihan Majlis Peguam.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .