» »Unlabelled » Zahid Hamidi dakwa wang skandal RM2.6 bilion Najib Razak diberi oleh lebih dari seorang


Terdapat lebih daripada satu sumber wang derma RM2.6 bilion yang disumbangkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, kata naib presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau mengesahkan perkara ini apabila wartawan bertanya sama ada terdapat lebih daripada seorang penderma yang menyumbang kepada sejumlah besar wang itu, berikutan timbul kekeliruan dalam kenyataan beberapa pemimpin Umno dan pihak berkuasa yang menyiasat derma itu.

“Lebih daripada seorang penderma. Plural (lebih daripada satu),” kata Zahid pada satu sidang media di perhimpunan agung tahunan parti itu hari ini.

Semasa perjumpaan tertutup pada 8 Disember lalu, Najib didakwa memberitahu pemimpin Umno yang wang tersebut sudah digunakan untuk parti dan beliau tidak mengambil satu sen pun untuk dirinya.

Dalam ucapan dasar semasa perasmian perhimpunan agung pagi ini, Najib mengulangi wang derma tersebut tidak datang daripada syarikat pelaburan bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan sumber dana tersebut datang dari Timur Tengah dan mereka sudah mengambil keterangan penderma tersebut.

Beberapa hari lalu, SPRM juga mengambil keterangan Najib berhubung dana tersebut.

Pada Ogos, Zahid memberitahu media beliau secara peribadi bertemu wakil "keluarga" dari Timur Tengah yang menderma RM2.6 bilion kepada Najib.

Zahid berkata derma tersebut diberikan kerana komitmen Malaysia dalam memerangi ekstremisme dan keganasan, di samping memartabatkan ajaran Sunni di Malaysia.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan berterusan mengkritik Najib dan mempersoalkan mengapa wang tersebut tidak diisytiharkan dalam akaun parti.

Pembangkang juga berulang kali menggunakan isu tersebut menyerang Najib, termasuk di Parlimen.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .