Datuk Seri Shafie Apdal hari ini menyangkal dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak meminta maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika menjadi timbalan perdana menteri, sebaliknya mendedahkan banyak pertanyaan mereka berdua tidak terjawab.
Naib presiden Umno itu berkata, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran, banyak bertanya dalam Kabinet berhubung 1MDB.
Malah secara peribadi, beliau banyak membangkitkan berkenaan model perniagaan syarikat pelaburan bermasalah itu dengan Petrosaudi, kata bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu.
"Kami banyak tanya. Saya pun ada tanya (presiden 1MDB) Arul Kanda (Kandasamy) tetapi dia tidak jawab.
"Saya tanya apa model perniagaan antara 1MDB dengan Petrosaudi yang membolehkan kita melabur sampai RM2 bilion lebih. Banyak lagi kami tanya," kata Shafie dalam satu wawancara dengan media atas talian di pejabatnya di Hartamas, Kuala Lumpur hari ini.
Selain model perniagaan, Shafie juga berkata mereka banyak bertanya mengenai isu pembelian tanah oleh 1MDB di Pulau Pinang dan Klang.
"Ada pertanyaan, minta penjelasan, apa sebab beli tanah di Pulau Pinang harga jauh tinggi. Terdesak sangatkah kita nak beli tanah itu?
"Pasal apa kita nak beli tanah? Tanah di Klang, di Pulau Pinang, bukan sikit harga dia," katanya.
Menurut Shafie, sepanjang tempoh berada dalam Kabinet sebelum disingkir pada Julai lalu, hanya sekali Arul hadir ke Kabinet dan memberikan penjelasan serta taklimat mengenai 1MDB.
Shafie berkata, tidak wajar menyalahkan mereka berdua kerana lantang mengkritik syarikat yang dinaungi Najib tersebut kerana mereka sekadar bertanya persoalan yang menjadi bualan mulut orang ramai.
"Takkan ini salah Shafie, takkan ini salah Muhyiddin. Saya tidak ada (terlibat) masa 1MDB diciptakan. Jadi kenapa kami pula disalahkan?
"Isu ini orang yang bangkitkan. Jadi, selaku pemimpin, kami perlu bertanya untuk kepentingan parti dan kerajaan.
"Esok nanti, jika tidak, pembangkang sahaja yang menjuarai isu ini kalau kita tidak bercakap," katanya.
Menurut Shafie, selain Arul, terdapat juga juruaudit dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang selalu memberi penjelasan berhubung 1MDB.
Namun, Husni juga, katanya gagal menjawab persoalan yang dibangkitkan dalam Kabinet.
"Juruaudit ada, Husni ada jelaskan, saya pun tanya soalan. Tetapi tidak jawab juga.
"Saya tanya, bagaimana dengan pelaburan RM4 bilion di Mongolia, SRC punya itu, di mana duit itu? Sekarang kata, ia sudah dipindah ke KWAP.
"Jika kami tidak boleh tanya, apa lagi kita boleh buat?" soalnya.
Shafie dan Muhyiddin tersingkir daripada Kabinet Najib pada Julai lalu, dipercayai akibat kritikan lantang mereka berhubung isu 1MDB yang mana Najib merupakan pengerusi lembaga penasihat syarikat pelaburan dana tersebut.
Najib semalam berkata, Muhyiddin sepatutnya boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan 1MDB ketika masih menjadi timbalan perdana menteri.
sumber
No comments: