Pengusaha bas sekolah dirayu tidak menaikkan kadar tambahan yang didakwa akan dilaksanakan bermula Januari 2016 ekoran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selain kejatuhan mata wang ringgit kata Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) Amali Munif Rahmat.
Beliau berkata, persatuannya tidak melihat keputusan menaikkan kadar tambang bas sekolah merupakan tindakan tepat ketika ini melihat kepada situasi semasa di mana ibu bapa sudah terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
"Kita merayu kepada pengusaha bas kalau boleh seraplah kos. Memang ada cadangan menaikkan kadar tambang sebab sebelum ini tidak naikkan tambang, namun kerana kos penyelenggaraan meningkat, mereka terpaksa juga berbuat demikian.
"Tapi kalau boleh kita harap operator bas tidak naikkan tambang kerana pengguna juga dilihat terbeban dengan kos sara hidup tinggi, mungkin dilihat sebagai berkat membawa anak-anak ke sekolah," katanya kepada The Malaysian Insider.
Sebelum ini The New Straits Times melaporkan Amali sebagai berkata, pengusaha bas bercadang menaikkan tambang bermula tahun hadapan.
Amali berkata, harga tambang kemungkinan berlainan dan tidak selaras memandangkan ia diputuskan operator bas dan bukannya persatuan ataupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Ia bukan di bawah bidang kuasa persatuan kerana ia ditentukan pengusaha bas.
"Jadi terpulang kepada mereka dan SPAD juga tidak mengawal tambang. Semuanya terpulang kepada rundingan antara ibu bapa," katanya sambil memaklumkan ketika ini 10,000 pengusaha bas sebagai ahli berdaftar di bawah persatuannya.
Bagaimanapun beliau menjangkakan, sekiranya berlaku kenaikan ia tidak mencatatkan peningkatan drastik dengan sekitar kurang daripada RM10.
Pada masa sama, beliau juga tidak menolak ibu bapa mungkin terpaksa mencari alternatif lain lebih murah dengan memilih perkhidmatan bas atau pengangkutan persendirian haram dan tidak berdaftar.
"Namun kena tengok juga. Tak semuanya murah kerana sebahagiannya lebih mahal, bergantung kepada kawasan dihantar dan permintaan," katanya.
Selain itu Amali juga menyatakan kebimbangan dengan keengganan SPAD menambah permit bas daripada jumlah 3,000 sedia ada kini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan berlakunya kekurangan bas sekolah yang secara tidak langsung menjurus kepada lambakan pengusaha bas haram.
"Sekolah kini mengalami bilangan penurunan bas sekolah.
"Di Malaysia, sebelum SPAD mengambil alih pada 2010, kita ada sebanyak 18,000 buah bas di seluruh Malaysia. Namun, selepas agensi itu ambil alih, hanya 3,000 permit bas sekolah dikeluarkan.
"Dan ia tiada pertambahan sejak itu dan timbul masalah apabila populasi pelajar makin bertambah tetapi bas berkurangan kerana tidak ada permit. Ia menyebabkan lambakan operasi bas secara haram," katanya.
Beliau berkata, 3,000 permit dikeluarkan SPAD tidak hanya terhad kepada pengusaha bas sekolah semata-mata tetapi terpaksa juga berkongsi dengan operator bas di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
sumber
No comments: