Lebih 200,000 jemaah umrah dan 28,000 jemaah haji dari Malaysia dijangka terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos menunaikan ibadah tersebut pada tahun hadapan.
Kenaikan kos tersebut tidak dapat dielakkan ekoran kejatuhan nilai mata wang negara untuk tukaran riyal yang menyebabkan pelbagai kos melibatkan tiket penerbangan, kos sewa hotel, makanan dan pengangkutan meningkat.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Datuk Syed Mohd. Razif Syed Yasin berkata, kos menunaikan ibadah umrah dan haji kelolaan agensi swasta pada tahun hadapan dijangka naik sebanyak 10 hingga 15 peratus atau mungkin lebih tinggi.
“Sebelum ini, kos bagi pakej umrah telah pun naik bagi musim umrah bermula pertengahan November lalu.
“Bagi jemaah haji kelolaan agensi swasta pula, kos dijangka naik bagi musim hadapan. Kita jangka kerajaan Arab Saudi pasti akan menaikkan kos kemudahan penginapan, pengangkutan dan makanan lebih-lebih lagi pada musim haji tahun depan,” katanya .
No comments: