» » Khairy dakwa PEMUDA akan terus tegur dan bertanya yang tidak melampau kerana ia bukan menderhaka


Menegur dan bertanya dalam tata etika parti bukanlah bermaksud menderhaka, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan menegaskan sayap itu akan terus bersuara tanpa melampaui batasannya.

Khairy berkata, pihaknya mengharapkan usaha meleraikan kemelut syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma politik bernilai RM2.6 bilion tidak akan terhenti meskipun Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sudah disoal siasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 2 jam.

"Di samping itu, isu-isu yang kini menjadi cabaran besar kepada parti dan semakin mengakibatkan berlakunya defisit keyakinan di kalangan rakyat perlu terus dijernihkan tanpa kompromi.

"Presiden parti sendiri tersangat sedar betapa isu-isu seperti 1MDB dan derma politik mencalarkan imej pemerintahan, baik di dalam negara begitu juga di peringkat antarabangsa.

"Presiden parti meminta diberikan masa untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi. Pemuda mengakui kesungguhan presiden dalam usahanya untuk merungkai segala permasalahan yang berlingkar pada masa ini," kata Khairy ketika berucap dalam mesyuarat perasmian sayap Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menteri beliau dan sukan itu berkata, meskipun terdapat perkembangan positif dalam isu berkenaan, Pemuda Umno mengharapkan ia dapat diselesaikan secara mutlak.

"Jelas, sudah ada perkembangan positif dalam meleraikan kemelut. Namun Pemuda berharap agar usaha-usaha ini tidak terhenti, sebaliknya diteruskan sehingga mencapai noktah penyelesaian yang hakiki.

"Isu 1MDB bukan hanya menuntut pengurangan hutang yang ditanggung tetapi sama penting adalah meyakinkan rakyat tiada penyelewengan yang berlaku. Defisit keyakinan di kalangan rakyat perlu ditangani.

"Maka, Pemuda akan terus bersuara untuk rakyat. Pemuda tetap menghormati tataetika parti dan tidak melampaui batas dalam menyampaikan pandangan dan teguran, namun tiada siapa yang boleh menutup mulut Pemuda dan menidakkan tanggungjawab kita untuk terus menyuarakan rasa hati rakyat."

Tambahnya, berpaksikan kebenaran, Pemuda Umno akan menzahirkan nurani dan suara hati rakyat.

"Yang hitam akan tetap hitam, yang putih akan tetap putih. Kebenaran akan sentiasa menjadi paksi. Itulah peranan Pemuda, menzahirkan nurani dan suara hati rakyat dari dalam parti.

"Tegur dan bertanya bukan menderhaka; kerana cara ini lebih mulia daripada pendekatan yang lain, sama ada telunjuk mencucuk, menjadi api dalam sekam yang akhirnya memusnahkan parti, mahupun yang menyokong membuta tuli sehingga membawa rebahnya institusi," katanya.

Khairy turut memberi jaminan akan bersama-sama pucuk pimpinan untuk bersama-sama mendukung kebenaran dan memperbetulkan apa jua salah tanggapan yang membelenggu Umno.

"Baik lagi suara ini datang daripada Pemuda yang menghormati parti, bukannya asakan keras daripada pihak-pihak yang tak ubah seperti kelik-kelik dalam baju, musuh dalam selimut.

"Sebelah kakinya mungkin masih di dalam parti tetapi hatinya seolah-olah mahu meruntuhkan institusi, untuk kepentingan diri," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .